Restoran boleh dibuka mulai 4 Mei ikut SOP

PUTRAJAYA – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata restoran dibenarkan beroperasi semula mulai Isnin ini, dan kini dibenarkan untuk membersihkan alat memasak, menyusun meja dan kerusi, serta membeli stok barang mentah bagi membuka semula perniagaannya.

“Pastikan meja disusun dengan jarak sekurang-kurangnya dua meter antara setiap meja supaya di tengah-tengahnya ada ruang yang agak luas untuk pelanggan dan pekerja lalu, dan ada jarak yang selamat antara pelanggan yang makan di situ” katanya dalam perutusan khas Perdana Menteri sempena Hari Pekerja, hari ini.

Untuk penjarakan sosial, Muhyiddin menjelaskan, Pak Salleh boleh meletakkan notis mengehadkan hanya seorang atau dua dan tiga orang untuk satu meja, bergantung kepada saiz meja.

“Meja kecil untuk satu atau dua orang sahaja dan meja besar tiga atau empat orang, Pak Salleh boleh tentukan. Buat garisan depan kaunter dan ukur satu meter untuk seorang pelangan dengan jarak satu meter di depan dan belakang bagi memudahkan pelanggan beratur ketika buat bayaran.

Perdana Menteri menjelaskan Pak Salleh juga perlu menyediakan pensanitasi tangan dan sabun untuk pelanggan selain segera membersihkan meja dengan penyembur pembersih sebelum pelanggan lain duduk bagi menjamu selera.

Muhyiddin berkata Pak Salleh turut perlu menyediakan penutup hidung dan mulut untuk beliau dan pekerja dan memastikan ia dipakai setiap masa.

Pada hari pertama pembukaan restoran, periksa suhu badan pelanggan perlu dilakukan dibenarkan masuk ke restoran dan gunakan pengimbas suhu badan yang sesuai,” katanya.

Jelasnya lagi, nama dan nombor telefon pelanggan perlu dicatat bersama tarikh dan masa mereka datang ke restoran kerana ia penting jika ada kes positif COVID-19 dikesan.

“Semua ini penting untuk pastikan supaya tiada pelanggan Pak Salleh yang terkena jangkitan COVID-19. Pemilik restoran, ‘food truck’ dan gerai makan yang lain pun mesti buat perkara yang sama”, katanya.

“Kalau semua dah buat begini, pelanggan-pelanggan boleh datang makan di restoran atau beli makanan dengan rasa selamat. Jika masih was-was, bungkus sajalah. Tak perlu makan di restoran. Ini mungkin lebih baik,” tambah beliau.

 

 

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here