Sektor awam, swasta kembali operasi mulai Isnin ini

KUALA LUMPUR – Sektor awam dan swasta yang akan kembali beroperasi mulai Isnin ini, mengalakkan pekerja untuk bekerja dari rumah selain penggiliran jadual harian bekerja.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan menggalakkan penjawat awam bekerja dari rumah kecuali bagi proses kerja yang memerlukan keberadaan di pejabat.

Beliau berkata mesyuarat juga digalakkan diadakan secara dalam talian menggunakan medium yang selamat dan bagi mereka yang mempunyai kesulitan penjagaan anak-anak di rumah, kerajaan membenarkan penggiliran pekerja selain melaksanakan waktu bekerja anjal.

“Saya minta supaya semua Ketua Jabatan mengadakan perbincangan di peringkat jabatan masing-masing untuk menyusun semula dan mengutamakan konsep bekerja dari rumah,” katanya dalam perutusan khas Perdana Menteri sempena Hari Pekerja hari ini.

Merujuk sektor-sektor ekonomi yang dibuka, Muhyiddin berkata majikan digalakkan membenarkan pekerja untuk bekerja dari rumah selain menyusun jadual hari bekerja secara selang-seli antara di pejabat dan di rumah untuk menyelesaikan masalah penjagaan anak.

“Jadi, majikan boleh memberi sedikit kelonggaran kepada pasangan suami isteri yang bekerja untuk datang ke tempat kerja secara selang-seli untuk menyelesaikan masalah penjagaan anak,“ katanya.

Perdana Menteri berkata langkah itu secara tidak langsung dapat mengurangkan jumlah kanak-kanak di pusat penjagaan selain memudahkan penjaga mengurus kanak-kanak mengikut SOP kesihatan yang ditetapkan.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here