PUTRAJAYA – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengambil langkah pencegahan jangkitan COVID-19, dengan membuat disinfeksi di setiap bas yang membawa pulang penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) dari kampus untuk ke kampung halaman mereka.
Ketua Pengarah JBPM Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, pihaknya bekerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN), bagi melihat pergerakan penuntut IPT dari kampus mengikut zon dan penugasan disinfeksi dibuat sebelum dan selepas bas bergerak, dengan mencuci di setiap bahagian bas dari dalam sehingga ke luar bas.
“Kami cuci bas termasuklah di dalam ruangan tempat meletak barangan, lantai bas, dan setiap kerusi bas, sebelum barangan pelajar IPT dibawa masuk”, katanya.
“Sebelum memasukkan beg mereka ke dalam bas, kami terlebih dahulu mengumpulkan beg-beg mereka di satu tempat untuk disembur dan disanitasi, sebagai langkah pencegahan wabak berkenaan,” katanya lagi.
“Apabila kesemua penuntut IPT telah sampai ke destinasi masing-masing, kami akan buat disinfeksi semula, untuk memastikan bas yang dinaiki mereka berada dalam keadaan bersih,” katanya.
Beliau berkata pihaknya telah melaksanakan 86 operasi disinfeksi, yang melibatkan 463 kenderaan iaitu 378 buah bas, 83 van dan dua buah kereta setakat ini dan operasi disinfeksi kenderaan ini akan berterusan lagi.
Kerajaan sebelum ini memutuskan untuk membenarkan pergerakan penuntut dari kawasan zon hijau ke kampung halaman yang berada di dalam zon hijau secara berperingkat, bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan COVID-19.