KUALA TERENGGANU: Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) meraikan persaraan Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Nerus (PPDKN), Tengku Azelam Tengku Abdullah, secara dalam talian kelmarin.
Walaupun pertama kali sambutan itu diadakan secara dalam talian susulan PKP memerangi wabak Covid-19, majlis berlangsung lebih satu jam dengan meriah apabila 45 pengetua dan guru besar serta 92 pegawai dan kakitangan PPD Kuala Terengganu dan Kuala Nerus sertai dalam peristiwa itu.
Pengarah JPNT, Salim Ab Ghani, berkata majlis itu cukup meriah dan begitu bermakna walaupun diraikan dalam talian. Majlis dimulai dengan ucapan dan diikuti tayangan video serta deklamasi sajak bagi menghargai jasa bakti dan pengorbanan beliau dalam dunia pendidikan.
“Mengimbas ketika dalam perkhidmatannya, cikgu Tengku Azelam berjaya membawa nama PPD Kuala Nerus sebaris dengan PPD lain walaupun dikategori sebagai PPD Satelit, antaranya peningkatan pencapaian dalam peperiksaan awam selain membawa PPD itu meraih PPD terbaik kebangsaan dalam Anugerah Pembestarian Sekolah 2019”, katanya.
“Sesungguhnya persaraan cikgu Tengku Azelam adalah satu kehilangan besar buat JPNT kerana beliau bukan sahaja berperanan sebagai guru malah juga sebagai pakar motivasi kepada murid-murid kerana mempunyai kemahiran dalam bidang bimbingan dan kaunseling,” ujarnya.
Sementara itu Tengku Azelam, yang juga Timbalan PPD Kuala Terengganu, memulakan kerjaya sebagai guru pada 1986 di Sekolah Menengah Kebangsaan La Salle, Petaling Jaya, Kuala Lumpur berkhidmat selama 34 tahun dua bulan dalam dunia pendidikan sebelum bersara wajib mulai hari ini.
“Saya terharu dan berterima kepada semua terutama JPNT, PPDKT serta PPDKN yang tetap menghargai jasa dan sumbangan saya dengan mengadakan majlis persaraan ini walaupun dalam tempoh PKP”, kata Tengku Azelam.