544 premis di Sabah termasuk kawasan zon hijau melalui operasi nyah cemar

TAWAU : Sebanyak 544 premis di negeri ini sudah melalui proses nyah cemar dan sanitasi awam yang dijalankan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, setakat, hari ini.

Pengarah JBPM Sabah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba, Kamarulzaman Malik Abdullah, berkata operasi nyah cemar itu membabitkan hampir keseluruhan daerah, termasuk kawasan yang dikategorikan sebagai Zon Hijau.

Katanya, daripada jumlah itu 125 premis di tiga daerah Zon Merah iaitu masing-masing di Tawau (57), Lahad Datu (53) dan Kota Kinabalu (15) sudah menjalani proses nyah cemar yang membabitkan bangunan kerajaan, pusat komersial, pasar awam dan rumah ibadat.

“Selain itu, sejumlah 374 premis lagi di kawasan zon kuning membabitkan 11 daerah di Sabah manakala selebihnya 45 premis masing-masing di Kuala Penyu (41) dan empat premis di Tenom yang dikategorikan sebagai kawasan Zon Hijau.

Mengulas lanjut, Kamarulzaman menjelaskan lebih 3.5 tan peralatan dan barang keperluan COVID-19 itu diterbangkan khas menggunakan helikopter dari Kota Kinabalu ke Tawau sebelum diagihkan di empat balai bomba iaitu Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna.

Beliau berkata, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, selain melaksanakan kerja sanitasi awam, pihaknya juga berperanan dan terlibat secara langsung dalam memindahkan warganegara yang baru pulang dari luar negara termasuk pelajar untuk dibawa ke pusat kuarantin.

Mengenai sambutan Hari Bomba Sedunia 2020 hari ini yang disambut ketika negara berdepan wabak COVID-19, beliau mengingatkan semua anggota bomba supaya kekal komited dalam menjalankan tugas di samping mengamalkan penjarakan sosial serta mengutamakan kebersihan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here