KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan akan mencadangkan hukuman lebih berat dan mandatori dikenakan ke atas individu disabitkan kesalahan memandu dalam pengaruh alkohol atau dadah.
Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sudah diarahkan meneliti Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, khususnya Seksyen 41 hingga 45 akta berkenaan.
“Saya rasa sudah tiba masanya kita kenakan hukuman mandatori. Ini bukan perkara baharu dan negara lain sudah melaksanakannya dan ia akan dilakukan dalam tempoh terdekat.
“Kita akan melihat cara terbaik. Kalau perlu buat pindaan undang-undang terhadap APJ 1987, kita akan buat sebaik-baiknya. Ini adalah insiden menyedihkan dan sudah tiba masa untuk jaga keselamatan orang lain,” katanya.
Semalam, seorang anggota polis maut selepas sebuah pacuan empat roda disyaki dipandu pemandu mabuk, merempuh sekatan jalan raya Op COVID-19 di Plaza Tol Kajang Selatan Lebuhraya (LEKAS), di Kajang. di sini.
Koperal Safwan Muhammad Ismail, 31, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala dan badan susulan rempuhan dan kenderaan terbabit dipercayai terbalik dan menghempap mangsa, dalam kejadian jam 2.11 pagi.
Mengulas hukuman baharu bagi pemandu mabuk, beliau berkata, berkemungkinan penjara mandatori akan dikenakan ke atas pesalah terbabit dengan tempohnya akan dipertimbangkan dalam kadar bersesuaian.
“Tiada sebab untuk seseorang memandu dalam keadaan mabuk kerana kita sudah ada e-hailing yang mempunyai 120,000 pemandu. Mereka sepatutnya menggunakan perkhidmatan ini,” katanya.