Ibadah di masjid, surau dibenar jika kerajaan lulus SOP yang dsediakan

KUALA LUMPUR – Pembukaan semula masjid dan surau bagi aktiviti agama akan dilakukan sekiranya kerajaan berpuas hati dengan garis panduan ibadah di masjid dan surau yang telah disiapkan Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Hal Ehwal Agama).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata garis panduan itu sudah pun siap dan telah dibentang dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) kali keempat pada Khamis lalu.

“Pertimbangan utama kerajaan adalah melihat kepada kesiapsiagaan dan persediaan teknikal di tahap optimum semua pihak iaitu Majlis-Majlis Agama Islam Negeri dan Jabatan-Jabatan Agama Islam Negeri sebagai badan berautoriti dan pihak berkuasa utama negeri dalam hal ehwal pentadbiran agama serta persediaan masjid dan surau di tahap terbaik,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan garis panduan itu juga tertakluk kepada arahan kerajaan dari semasa ke semasa serta kebenaran dari KKM dan MKN.

“Buat masa ini, berdasarkan pertimbangan pihak berwajib, kerajaan memutuskan sebarang bentuk aktiviti agama berjemaah di masjid dan surau masih dilarang dalam tempoh PKPB,” katanya.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata jika pelaksanaan garis panduan itu mendapat kelulusan di peringkat Persekutuan, ia tetap tertakluk kepada pertimbangan pihak berkuasa utama di negeri-negeri untuk dilaksanakan di peringkat negeri.

 

 

 

 

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here