Lebih banyak laluan dibuka semula elak sekatan jalan raya

ALOR GAJAH: Jalan persimpangan Klinik Kesihatan Masjid Tanah ke Taman Bandar Baru di Masjid Tanah, dekat sini yang disifatkan sebagai lorong tikus untuk pemandu kenderaan mengelak sekatan jalan raya (SJR), dibuka semula hari ini.

Selepas kira-kira sebulan jalan berkenaan ditutup, polis membuka semula laluan itu kepada pemandu kenderaan yang bergerak dari arah Tanjung Bidara, Pengkalan Balak, Kuala Sungai Baru, Kampung Paya Rumput dan Lubok Cina untuk ke Kampung Ayer Limau, Durian Daun, Alor Gajah dan Rantau Panjang tanpa perlu masuk ke pekan Masjid Tanah.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu mengesahkan laluan berkenaan dibuka berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang mula dilaksanakan hari ini.

Selain laluan berkenaan, turut dibuka ialah laluan dalam Taman Bandar Baru yang sebelum ini ditutup terutama mereka yang mengelak terkandas di laluan yang ditutup di persimpangan Klinik Kesihatan Masjid Tanah ke taman itu.

Pemandu kereta, Sulaiman Abu Bakar, 49, berkata beliau lega diberi peluang melalui laluan berkenaan kerana ia adalah jalan pintas dari kediamannya di Kampung Paya Rumput untuk ke pekan Alor Gajah tanpa perlu masuk ke pekan Masjid Tanah.

Katanya, pembukaan semula laluan berkenaan memberikan peluang kepada pengguna jalan raya untuk memendekkan masa perjalanan dan memberikan kemudahan tanpa melalui jalan yang sempit.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here