KUALA LUMPUR: Empat kontena yang dijadikan tempat tinggal buruh binaan, stor simpanan dan kantin terbakar dalam kejadian di tapak pembinaan Agile Mont Kiara di Taman Duta di sini, awal pagi tadi.
Jurucakap Pasukan Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, berkata kebakaran itu membabitkan keluasan 100 meter persegi, kira-kira jam 1 pagi tadi.
Komander Operasi Kanan, Penolong Penguasa Bomba, Nurul Jumaatullaily Nadirah Ibrahim berkata, kebakaran melibatkan empat buah kontena di tapak pembinaan melibatkan dua buah kontena dijadikan tempat tinggal pekerja pembinaan, sebuah kontena dijadikan setor simpanan dan sebuah lagi dijadikan kantin.
“Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur terima panggilan kecemasan jam 1.02 pagi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
“Operasi jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Hartamas, BBP Hang Tuah dan BBP Sentul bersama jentera 4 FRT, 2 WT, 2 EMRS, 1 ALP dan 3 Unit RIM dengan kekuatan 48 anggota dikejarkan ke lokasi.
“Tiada mangsa terbabit dan kebakaran dipadamkan sepenuhnya pada jam 3.15 pagi tadi dengan puncanya masih dalam siasatan,” katanya di sini, hari ini.