KKM : Digalakkan pakai penutup hidung, muka di kawasan awam, sesak

PUTRAJAYA – Pemakaian penutup hidung dan mulut sangat digalakkan dalam kalangan rakyat terutama bagi mereka yang berada di kawasan awam dan sesak bagi mengurangkan risiko jangkitan COVID-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

“Kementerian Kesihatan (KKM) menggalakkan mereka memakai penutup hidung dan mulut  tetapi sekarang ini bukan satu kewajipan,” katanya dalam sidang media harian.

Selain itu, Dr Noor Hisham juga mengingatkan syarat lain juga perlu dipatuhi iaitu jarakan sosial yang selamat sekurang-kurangnya satu meter serta amalan kebersihan diri yang tinggi dengan kerap mencuci tangan.

Ditanya mengenai pematuhan orag awam terhadap Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Dr Noor Hisham berkata ia adalah terlalu awal untuk dinilai.

“Bagaimanapun  melihat kepada amalan di negara lain seperti  Taiwan dan Korea Selatan, mereka tidak ada PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) tetapi mereka mempunyai disiplin sosial dan mematuhi SOP.  Sekarang SOP adalah jelas dan KKM menggesa semua rakyat Malaysia untuk mengamalkan jarakan sosial, memakai penutup hidung dan mulut, kerap membasuh tangan dari semasa ke semasa,” katanya.

“Jika mereka boleh mematuhinya, kita boleh memutuskan rantaian jangkitan, jika tidak terdapat risiko untuk kadar jangkitan meningkat lebih tinggi daripada 0.7 sekarang dan ini akan dipantau rapi,” katanya.

Mengenai justifikasi KKM terhadap PKPB yang telah diwartakan, Dr Noor Hisham berkata strategi KKM dalam PKP fasa 1, 2 dan 3 ialah untuk meratakan lengkung dengan menggalakkan setiap orang duduk di rumah. Melihat kepada situasi PKPB ialah untuk membenarkan sektor perniagaan beroperasi semula.

Dr Noor Hisham berkata amat penting untuk orang awam mempunyai disiplin sosial dan pematuhan sosial, selain memastikan industri dan restoran mematuhi SOP atau berhadapan tindakan undang-undang di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here