JOHOR BAHRU: Sebuah pasar raya dan kedai emas di Kulai dekat sini, diarahkan tutup pada hari pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, berkata notis penutupan dikeluarkan terhadap dua premis itu berikutan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sektor perniagaan ketika PKPB mengikut Seksyen 18(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
“Pelaksanaan PKPB bukan ‘tiket’ untuk orang ramai bergerak bebas sebaliknya, ia tempoh bagi kita untuk mula mempraktikkan dan menyesuaikan diri dengan satu norma baharu.
“Semua industri termasuk peruncitan dinasihatkan mematuhi panduan ditetapkan pihak berkuasa. Paling utama mereka perlu memastikan kebersihan premis dan pengurusan pelanggan merangkumi aspek penjarakan sosial, transaksi tanpa sentuhan, saringan kesihatan serta penggunaan cecair pembasmi kuman.
“Ketidakpatuhan SOP seperti digariskan itu, akan menyebabkan tindakan undang-undang diambil terhadap pemilik premis terutama penutupan premis mereka, ” katanya pada sidang media secara langsung di akaun Facebook rasmi kerajaan Johor, hari ini.
Vidyananthan berkata, PBT di setiap daerah akan mengeluarkan SOP mengikut kesesuaian masing-masing dalam masa terdekat.