SHAH ALAM: Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) akan memulakan operasi seperti biasa tanpa temu janji mulai 13 Mei ini.
Unit komunikasi korporat JAKESS memaklumkan, perkhidmatan yang akan ditawarkan adalah pemfailan dan perbicaraan kes tuntutan fasakh dengan alasan berlaku keganasan rumah tangga (disokong dengan laporan polis dan laporan perubatan), pemfailan dan perbicaraan kes pengesahan lafaz cerai di luar mahkamah; dan Pemfailan dan perbicaraan kes penceraian dengan persetujuan bersama antara suami dan isteri.
“Selain pemfailan dan merekodkan apa-apa kes yang berjaya mencapai penyelesaian secara persetujuan bersama, pemfailan kes yang membabitkan tempoh dan had masa sebagai contoh notis rayuan, pemfailan dan perbicaraan kes permohonan Injunksi; dan pengambilan perintah meterai bertulis (perlu buat temu janji awal terlebih dahulu),” katanya.
Jelas kenyataan itu, waktu operasi JAKESS adalah dari Isnin hingga Jumaat bermula jam 8 pagi hingga 1 petang dan bersambung dari jam 2 hingga 3 petang.
Katanya, orang awam yang hadir ke mahkamah dikehendaki memakai penutup hidung dan mulut serta diwajibkan melalui saringan kesihatan dengan memastikan penjarakan sosial dilaksanakan.
“Dilarang membawa kanak-kanak semasa berurusan di Mahkamah Syariah Selangor dan diingatkan, mereka yang menghadapi masalah kesihatan dinasihatkan untuk menangguhkan tujuan hadir ke mahkamah sehingga didapati sembuh,” katanya.
Sementara itu, JAKESS memaklumkan, pelanggan yang berhasrat untuk memfailkan atau memohon pendengaran kes dengan segera sebelum 13 Mei hanya akan dilayan melalui temu janji serta mengemukakan Surat Perakuan Segera kepada Mahkamah.
“Pelanggan masih boleh mendapatkan perkhidmatan runding cara melalui talian telefon. Pengendalian kes jenayah yang baharu yang membabittkan permohonan jamin boleh dibuat dengan menghubungi Pendaftar Mahkamah Syariah Selangor yang berkaitan,” katanya.