KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) membantu negara-negara kecil memerangi wabak COVID-19 menerusi persidangan video semalam.
Beliau berkata Malaysia percaya NAM perlu memainkan peranan yang lebih ketara bagi memperjuangkan akses dan perolehan bagi negara-negara kecil dalam mendapatkan bekalan perubatan, ubat-ubatan dan vaksin sebaik sahaja ia dibangunkan.
Beliau berkata Malaysia bimbang jika NAM tidak bersatu, negara-negara kecil akan dipinggirkan apabila ubat-ubatan dan vaksin dibangunkan syarikat farmasi besar di negara-negara maju.
“Malaysia mengalu-alukan penubuhan Petugas Khas NAM yang akan mewujudkan pangkalan data biasa untuk keperluan perubatan asas serta mengenal pasti keperluan sosial dan kemanusiaan negara anggota NAM,” katanya,
Menjelaskan mengenai penubuhan Petugas Khas NAM, Muhyiddin berkata, ia berfungsi membangunkan pangkalan data untuk keperluan kesihatan asas, termasuk mengenal pasti keperluan sosial serta kemanusiaan dalam kalangan negara anggota NAM.
“Kita tidak bersendirian dalam memerangi musuh yang tidak boleh dilihat ini. Kita semua telah dan akan terus menerima kesan daripada krisis ini. Sebab itu, kita mesti bersatu,” kata Muhyiddin.
Sebagai sebuah pergerakan, beliau berkata, ia mewakili 120 negara, 17 negeri dan 10 organisasi global sebagai pemerhati. Ia merangkumi hampir dua pertiga anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan mewakili lebih separuh populasi dunia.
“Oleh itu, ini adalah masanya untuk kita sebagai negara berkecuali untuk bersama-sama dan buktikan dengan kekal bersatu, padu dan tabah. Kita dapat buktikan kepada dunia bahawa kita dapat mengatasi pandemik ini dan muncul sebagai kekuatan utama ‘new global order’ selepas COVID-19”, katanya.