KOTA KINABALU: Lebih 20 pengusaha bas ekspres di Sabah bersedia untuk beroperasi pada bila-bila masa sahaja selepas mendapat kebenaran Kementerian Pembangunan Infrastruktur Negeri Sabah.
Presiden Majlis Pengusaha-Pengusaha Bas Ekspres Sabah (SEBOC), Datuk Donald Hanapi dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan semalam, berkata pihaknya sudah bermesyuarat dengan Setiausaha Tetap kementerian berkenaan bagi menetapkan prosedur operasi standard (SOP) aktiviti bas ekspres sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat ( PKPB ).
“Persatuan kami menekankan, diberikan subsidi minyak diesel kepada pengusaha bas dan juga dibantu dari segi penyediaan disinfeksi di setiap terminal bas untuk mengelakkan menularan wabak COVID-19,” katanya.
Donald dalam mesyuarat turut mengemukakan permohonan agar kadar tambang bas dinaikkan sekurang-kurangnya 30 peratus kerana pendapatan kurang memberangsangkan berikutan SOP penjarakan sosial.
“Jika sebelum ini sebuah bas ekspres boleh memuatkan 42 orang penumpang, namun dengan pelaksanaan penjarakan sosial hanya 20 orang dibenarkan di dalam bas”, katanya.
“Pengurangan jumlah penumpang ini pastinya memberikan kesan yang sangat besar kepada pengusaha bas ekspres dan pihak kami berharap agar permohonan ini dipertimbangkan,” ulas beliau.