PUTRAJAYA: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan menghantar pulang 2,897 lagi pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta ke kampung halaman masing-masing, hari ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata lapan penerbangan dijadualkan untuk menghantar pulang 2,297 pelajar dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak serta penerbangan dari Sarawak ke Semenanjung dan turut membabitkan satu penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA).
“Terdapat dua penerbangan dari KLIA ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dan dua penerbangan dari KKIA ke KIA dan tiga penerbangan dari KIA ke KLIA,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Beliau turut berkata pergerakan pulang penuntut dalam Semenanjung di Zon Timur ke kampung halaman di Zon Selatan dan juga pelajar di Zon Utara ke Zon Tengah bermula malam ini. Pergerakan ini akan membabitkan baki 600 penuntut.
Mengenai pengurusan pusat kuarantin, Ismail Sabri berkata, setakat 6 Mei, sebanyak 245 Pusat Kuarantin beroperasi sama seperti hari sebelumnya, yang mana 17,107 individu menjalani proses kuarantin wajib.