KUANTAN: Sektor perhotelan di Pahang mengalami kerugian kira-kira RM500 juta berikutan penularan wabak COVID-19 sehingga akhir bulan lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin, berkata kerugian berkenaan membabitkan hotel bertaraf tiga hingga lima bintang.
“Banyak tempahan penginapan dibatalkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), menyebabkan hotel-hotel mengalami kerugian agak teruk dan kita jangkakan keadaan sektor perhotelan pulih hingga tahun hadapan,” katanya,
Mohd Sharkar mencadangkan MOTAC melaksanakan kempen Tahun Melawat Malaysia pada 2022 bagi merancakkan kembali sektor pelancongan dan rakyat digalak melancong secara domestik.
Dalam pada itu, beliau berkata, Tourism Pahang menangguhkan sementara Pertandingan Video Pendek Pahang Simply Awesome ke satu masa yang sesuai berikutan penularan COVID-19 dan keputusan ini dibuat selepas mengambil kira keadaan semasa yang belum pulih sepenuhnya.