Pintu sempadan Malaysia-Thailand masih ditutup kepada orang awam

JITRA: Laluan di sempadan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam masih ditutup kepada kenderaan awam.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim, berkata pintu sempadan Malaysia-Thailand hanya dibenarkan untuk lori pengangkutan perdagangan sahaja.

Beliau berkata, pihaknya akan membuka sekatan jalan di Kepala Batas untuk laluan orang ramai hari ini, manakala sekatan jalan di Kodiang masih diteruskan.

Beliau berkata, sekatan di Kodiang hampir dengan sempadan Perlis dan masih ditutup untuk mengelak orang luar masuk ke daerah ini dan walau bagaimanapun, perjalanan merentas dari daerah ke daerah sudah dibenarkan setakat ini.

“Kita akan menambah pasukan pemantau yang terdiri daripada pelbagai agensi termasuk polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Majlis Perbandaran Kubang Pasu (MPKP) untuk memantau pergerakan orang ramai di kawasan tumpuan ramai,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Ismail berkata, pihaknya juga menggalakkan orang ramai memakai penutup muka ketika berada di tempat awam seperti pasar awam, bank dan pasar raya dan memastikan penjarakan sosial serta mmenjaga kebersihan diri sebagai langkah pencegahan Covid-19.

“Selain itu pemantauan turut dilakukan berikutan arahan kerajaan negeri yang tidak membenarkan orang ramai makan di restoran dan hanya pembelian bungkus dibenarkan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here