Sumbang 1.5 tan ikan sembilang percuma untuk diagih

SEREMBAN: Seorang pengusaha ikan di sini mengagihkan 1.5 tan ikan sembilang secara percuma kepada penduduk terutama mereka yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Man Kok Heng, 55, berkata, inisiatif itu diambil selepas ikan berkenaan tidak dapat dipasarkan di Thailand sempena Ramadan, namun terjejas susulan PKP.

Kok Heng mengusahakan ternakan pelbagai jenis ikan membabitkan lebih 30 kolam di Titi Jelebu, di sini dan kesemua ikan sembilang ini dapat memberikan secara percuma kepada penduduk.

“Saya mendapat kerjasama wakil rakyat DUN Lenggeng, Suhaimi Kassim dan Jabatan Perikanan Negeri Sembilan dalam menganjurkan program serahan ikan ini,” katanya ketika ditemui selepas pengagihan ikan keli di Pusat Khidmat DUN Lenggeng di Taman Panchor Jaya, Paroi, di sini, hari ini.

Menurutnya, pihaknya kerugian kira-kira RM100,000 sepanjang tempoh PKP ini kerana tidak dapat memasarkan ikan dan hasil ternakannya seperti biasa.

“Bagaimanapun, saya puas hati kerana dapat membantu penduduk yang terjejas sepanjang tempoh pelaksanaan PKP dan berharap sumbangan kecil ini dapat membantu meringankan beban mereka terutama golongan yang kurang berkemampuan,” katanya.

Sementara itu, Suhaimi berkata, pihaknya menyambut baik langkah penternak ikan berkenaan di atas kesudian mengagihkan ikan sembilang secara percuma kepada penduduk dalam kawasan DUN Lenggeng yang diwakilinya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here