KUALA LUMPUR: Pandemik COVID-19 bukan sahaja mengancam kesihatan, malah turut menjejaskan pendapatan pengusaha bas persiaran atau bas pelancong.
Dahulu mereka merupakan ‘petugas barisan hadapan’ yang membantu melonjakkan industri pelancongan tempatan dengan membawa pengunjung termasuk dari luar negara, ke tempat-tempat menarik di negara ini, namun sejak Disember lalu, nasib mereka mula berubah.
Wabak COVID-19 menutup lebih 10,000 bas persiaran, ditambah pula menghadapi tekanan hebat daripada syarikat kredit untuk membayar pinjaman kenderaan itu.
Pengarah WSF Travel and Tours Sdn Bhd, Wan Shairi Wan Ahmad mendakwa berikutan tiada moratorium pinjaman diberikan terhadap bas persiaran menyebabkan sebahagian mereka tidak mampu bertahan, sehingga ada yang hampir bankrap.
“Oleh itu, kita minta tolong MOF (Kementerian Kewangan) untuk menstruktur balik pinjaman bank kepada syarikat bas pelancongan dengan faedah pinjaman yang rendah, 1-2%. Bayangkan syarikat ini boleh ditutup dalam tiga atau empat bulan kerana sebuah bas perlu bayar RM12,000-RM13,000,” katanya.
Wan Shairi juga merayu kepada kerajaan supaya menggunakan perkhidmatan bas persiaran untuk menghantar pulang pelajar yang masih terkandas di universiti ke kampung halaman masing-masing.
Beliau berkata setakat ini tiada satu syarikat bas persiaran digunakan bagi tujuan itu, dan beliau meminta kerajaan membantu sektor berkenaan terutamanya menjelang Hari Raya Aidilfitri ini.
Sementara itu, Pengarah Dataran Travel and Tours, Abdul Aziz Ismail Gani, berkata pihaknya menghadapi kesukaran kerana tidak mempunyai pendapatan susulan permintaan terhadap perkhidmatan bas persiaran itu tiada langsung sejak penularan wabak Covid-19 dalam negara.
“Susut nilai bas amat teruk. Orang lain tidak mahu untuk beli bas kami walaupin kita jual. Tetapi, kami perlu teruskan bayar hutang kenderaan sampai habis ikut jadual,” katanya.
Pemilik GLX Travel & Tours, N Gunaratnam pula berkata pihaknya sudah mengemukakan permohonan bagi Program Subsidi Upah, namun sehingga kini belum menerima pemakluman daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).