KOTA KINABALU: Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mikro mempunyai tempoh sehingga 15 Mei ini untuk mendaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) secara dalam talian bagi mendapatkan kemudahan Geran Khas Prihatin (GKP).
Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Abdul Rahim Bakri, berkata dianggar 700,000 PKS mikro menerima geran bernilai RM3,000 untuk entiti perniagaan berdaftar dan berlesen.
“Geran ini bertujuan meringankan beban PKS mikro yang terjejas teruk susulan langkah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menangani penularan COVID-19”, katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, PKS mikro yang layak membabitkan jumlah perolehan purata RM25,000 atau sekitar RM300,000 ke bawah setahun dan PKS berkenaan mestilah aktif dengan perniagaannya dan memiliki sekurang-kurangnya lima pekerja tidak termasuk pemilik perniagaan,” katanya.
Abdul Rahim berkata usaha itu akan menyaksikan kerajaan berbelanja RM2.1 bilion jika semua 700,000 PKS mikro mendaftar dan memenuhi kriteria ditetapkan dan angka itu cukup besar dan memadai membantu menggerakkan ekonomi di peringkat bawahan yang menjadi nadi ekonomi golongan B40.
“Sumbangan Petronas dan (hasil) dividen syarikat berkaitan kerajaan (GLC) telah menolong dari segi bantuan kepada rakyat yang terjejas melalui Bantuan Prihatin Nasional (BPN) berjumlah sekitar RM10 bilion dah GKP bernilai RM2.1 bilion,” katanya.