KUALA LUMPUR: FELDA menyumbang bantuan makanan asas bernilai RM6.7 juta kepada 112,638 peneroka yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pengarah Besar FELDA, Datuk Dr Othman Omar, berkata pek bantuan bernilai RM50 setiap satu merangkumi keperluan asas seperti beras, gula, minyak masak, susu, kurma, biskut dan mi segera dan bantuan berkenaan boleh diambil dari 6 Mei hingga hingga 13 Mei di kedai-kedai D’Mart di kawasan rancangan.
“FELDA sentiasa prihatin dan akan terus berusaha membantu meringankan beban warga peneroka yang terkesan dengan memastikan bantuan bekalan asas tidak terputus dan dikendalikan dengan sebaik mungkin,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Selain itu, FELDA turut menyumbang sebanyak RM953,500 kepada inisiatif Pusat Makanan Komuniti Rancangan (PMKR) yang ditubuhkan pada awal PKP oleh Jawatankuasa Perunding Peneroka (JKPP).
Kelab Bolasepak Felda United (FUFC) dengan kerjasama JKPP, Koperasi Pemodalan FELDA (KPF), Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), KAF, PUSPANITA FELDA, Persatuan Kakitangan Kanan FELDA (PKKF) dan Kesatuan Pekerja-pekerja FELDA (KPPF) juga dapat mengumpulkan kutipan sumbangan sebanyak RM166,499 untuk tujuan sama.
Jumlah keseluruhan sumbangan sebanyak RM1,119,999 akan digunakan untuk membeli dan mengagihkan pek barangan makanan keperluan asas kepada kira-kira 28,000 peneroka dan generasi baru yang layak.
Setakat ini PMKR sudah mengagihkan 131,000 pek barang makanan keperluan asas kepada keluarga peneroka di 317 Rancangan FELDA di seluruh negara.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Besar Perladangan dan Pembangunan Peneroka FELDA, Anuar Malek, berkata peneroka pastinya dapat menarik nafas lega lebih-lebih lagi dalam menyambut bulan Ramadan dan kami berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban serta kegusaran warga peneroka.