MELAKA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempertimbangkan untuk memberi cuti secara bergilir kepada anggotanya yang banyak berkorban masa dan tenaga sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.
Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Abdul Rahim Jaafar, berkata pihaknya sedang meneliti perkara itu dengan perbincangan khusus dan akan dijalankan sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Jika keadaan COVID-19 bertambah baik, kita akan mempertimbangkan untuk beri cuti secara bergilir. Namun, pihak polis ingin memastikan pergerakan orang ramai dapat kita pantau supaya tidak berlaku pelanggaran (PKP)”, katanya.
“Bagaimanapun, kita akan teliti bahawa hanya 10 peratus anggota boleh bercuti pada musim perayaan atau sebaliknya. Musim perayaan kali ini bukan hanya tertumpu kepada pergerakan berkaitan PKP saja, tetapi juga kawalan lalu lintas serta pencegahan jenayah juga akan diberikan tumpuan,” jelas beliau di sini.
Kelmarin, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata, pihaknya akan menyusun semula strategi dalam mendepani wabak COVID-19 dan turut mempertimbangkan cuti kepada warga kerja Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk bercuti secara bergilir.
Sementara itu, Abdul Rahim berkata, PDRM akan meningkatkan lagi rondaan dan pemantauan khususnya di kawasan pesisir pantai dan sempadan antara negeri yang dikenal pasti menjadi laluan utama golongan pendatang asing tanpa izin (PATI) susulan pengurangan SJR di seluruh negara bermula semalam
“Sekatan hanya dilakukan di lokasi tertentu di setiap negeri dan tumpuan adalah kepada pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) selain operasi pencegahan jenayah dan kawalan sempadan,” katanya.