Pendaftaran akaun pelanggan catat peningkatan 50 peratus dalam portal myTNB

KUALA LUMPUR: Aplikasi dan portal komprehensif Tenaga Nasional Berhad (TNB), myTNB, mencatat hampir 50 peratus peningkatan pendaftaran akaun pelanggan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula berkuat kuasa pada 18 Mac 2020.

myTNB menawarkan saluran alternatif kepada 9.28 juta pelanggan TNB untuk membayar bil dengan lebih selamat. Ketika ini, 125 Kedai Tenaga dan kios pembayaran layan diri di seluruh negara ditutup hingga tamat tempoh PKP.

Ketua Pegawai Runcit TNB, Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan, berkata pendaftaran akaun pelanggan menerusi myTNB meningkat sebanyak 47.8 peratus kepada 3,331,156 hingga 3 Mei ini berikutan ramai pelanggan yang duduk di rumah melakukan pelbagai ransaksi berkaitan TNB menggunakan portal dan aplikasi berkenaan.

Pelanggan boleh membuat pembayaran bil elektrik melalui perbankan internet (online banking), kad kredit atau debit. Portal itu boleh dilayari di www.mytnb.com.my dan aplikasi boleh dimuat turun secara percuma dari Google Play Store dan Apple App Store bagi menyemak dan memantau penggunaan tenaga, rekod bil serta pembayaran hingga enam bulan terdahulu.

Pelanggan juga boleh menyimpan maklumat kad kredit atau debit menerusi myTNB bagi memudahkan proses pembayaran. Status pembayaran akan dikemaskini sebaik sahaja transaksi berjaya.

“Hingga hari ini, kami mempunyai kira-kira 2,802,693 juta pengguna berdaftar myTNB. Kami menjangka lebih ramai lagi akan memanfaatkan myTNB apabila fasa PKP seterusnya berkuat kuasa,” katanya.

Selain memantau dan menjelaskan bayaran bil milik sendiri, pengguna myTNB juga boleh menambah akaun TNB lain dan melakukan pembayaran bil bagi orang lain.

Sepanjang tempoh PKP, TNB telah menangguhkan pembacaan meter serta penghantaran bil ke premis. Penggunaan elektrik pelanggan dikira berdasarkan penggunaan bulan sebelumnya (bil anggaran).

Sebagai contoh, jika penggunaan bulan sebelum ini adalah RM100, maka bil anggaran semasa juga adalah RM100. Diskaun berperingkat (antara 2 peratus hingga 50 peratus) mengikut penggunaan keseluruhan dapat dilihat pada bil anggaran bagi penggunaan elektrik bermula 1 April 2020.

Pelanggan juga boleh menyemak bil elektrik mereka dengan menghubungi TNB CareLine di ‪1-300-88-5454‬ dari jam 8 pagi sehingga 5 petang setiap hari. Sepanjang tempoh PKP, TNB tidak akan menjalankan sebarang aktiviti memotong bekalan buat pelanggan yang mempunyai bil tertunggak.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here