Trafik lancar hari pertama rentas negeri

KUALA LUMPUR: Hari pertama pergerakan rentas negeri bagi pemohon Gerak Malaysia menyaksikan keadaan aliran trafik di beberapa lebuh raya utama dan kawasan plaza tol menghala keluar dari ibu negara lancar setakat 1 tengah hari ini.

Orang ramai yang terkandas di Kuala Lumpur berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu, kini dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing di negeri lain sekitar Semenanjung bermula hari ini.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata, pihaknya menjangkakan 300,000 kenderaan akan menggunakan lebuh raya utama sepanjang tempoh pergerakan rentas negeri dilaksanakan sehingga Ahad ini.

“Pada pagi ini, kita dapati lebuh raya utama seperti Lebuhraya PLUS, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 dan LPT2, serta Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) masih lancar dan tiada kesesakan dilaporkan namun dijangkakan aliran trafik akan bertambah pada sebelah petang iaitu selepas waktu berbuka puasa,” katanya .

Orang ramai memilih untuk memulakan perjalanan selepas jam 10 pagi, iaitu selepas waktu puncak untuk ke destinasi masing-masing.

“Saya ikut saranan pihak berkuasa untuk tambah nilai dan isi minyak penuh sebelum memulakan perjalanan ke Baling, Kedah dari Kuala Lumpur. Saya anggarkan perjalanan akan ambil masa lima jam tapi saya bawa siap-siap makanan ringan untuk berbuka sekiranya jalan sesak”, kata seorang pengguna Tol Jalan Duta, Hayati Roslan, 37.

Sehingga semalam, sebanyak 143,516 permohonan menerusi aplikasi Gerak Malaysia diluluskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mereka yang ingin melakukan rentas negeri untuk pulang ke kediaman masing-masing selepas terkandas di lokasi semasa berikutan penguatkuasaan PKP.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here