GEORGETOWN – Sebanyak 242 buah bas Rapid Penang mula beroperasi sepenuhnya hari ini selepas 50 hari mengehadkan waktu operasinya ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan wabak Covid-19.
Ketua Operasi Rapid Penang, Ahmad Shabuddin Abdullah berkata, kesemua bas kembali beroperasi itu merupakan persediaan kepada pembukaan sektor ekonomi apabila Pulau Pinang mula melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hari ini.
“Hari ini hari pertama kita beroperasi di bawah Strategi Pemulihan Berperingkat Pulau Pinang. Kita telah meningkatkan perkhidmatan 100 peratus bas beroperasi iaitu sebanyak 242 buah bas” katanya.
“Mulai hari ini, waktu operasi bas Rapid Penang mula pada jam 5.30 pagi hingga 11 malam dan pihaknya mengekalkan prosedur operasi standard (SOP) kepada semua penumpang selain mengurangkan 50 peratus penumpang bagi setiap bas”, jelas beliau.
“Penumpang juga diwajibkan menjaga penjarakan sosial ketika berada di dalam bas dan disebabkan itu, kita mengehadkan jumlah penumpang mengikut saiz bas. Hanya 19 penumpang dibenarkan untuk naiki bas 10 meter, malah bagi bas 12 meter, 23 penumpang dibenarkan untuk menaiki bas itu”, katanya.
Beliau berkata, Rapid Penang amat menggalakkan penumpang memakai penutup muka dan menjaga penjarakan sosial ketika beratur di kaunter dan pihaknya juga akan menjalan proses sanitasi terhadap semua bas setiap malam selepas tamat waktu operasi.
“Kita tidak akan buat saringan suhu badan setiap penumpang namun akan melaksanakan SOP yang ditetapkan setiap masa antaranya penjarakan sosial dan mewajibkan penumpang memakai penutup muka”, ulas beliau.
“Buat waktu ini, hanya bas berbayar beroperasi manakala bas percuma, CAT di bawah kerajaan negeri belum beroperasi,” katanya.