LANGKAWI – Orang ramai yang ingin menggunakan perkhidmatan feri dari Terminal Feri Penumpang Kuah ke Kuala Kedah atau Kuala Perlis disaran membuat pembelian dalam talian bagi mengelak kesesakan di kaunter tiket.
Pengurus Sumber Manusia dan Operasi, Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Kapten Baharin Baharom berkata orang ramai boleh merancang perjalanan dengan lebih baik menerusi pembelian tiket dalam talian.
Beliau berkata pihaknya juga kecewa kerana pembelian tiket dalam talian hanya kira-kira lapan peratus sahaja yang direkodkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Penumpang yang membeli tiket di kaunter diwajibkan mengisi borang Maklumat Penumpang yang disediakan oleh Jabatan Laut Malaysia dan bagi pembelian dalam talian, setiap maklumat yang diperlukan oleh kerajaan telah direkodkan dalam sistem dan pengguna akan terus memasuki feri tanpa perlu bersesak-sesak di kaunter tiket,” katanya.
Baharin berkata pembelian tiket dalam talian boleh dilakukan di laman sesawang www.langkawiferryline.com atau melalui Aplikasi Mobile App Langkawi Ferry Line.
“Dalam tempoh PKP, jumlah penumpang yang menggunakan perkhidmatan feri ke Kuala Kedah atau Kuala Perlis hanya sekitar 30 hingga 60 orang sahaja setiap perjalanan, tetapi jumlah meningkat selepas PKPB.
“Namun begitu Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam tempoh PKPB tetap diberi perhatian. Sebagai contoh, tiket yang dijual hanya separuh berbanding muatan penuh feri dan tempat duduk penumpang dijarakkan,” katanya.