KUALA LUMPUR: Kerajaan masih menetapkan empat hari sahaja bagi pengecualian pergerakan rentas negeri yang dibenarkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata tujuannya adalah untuk memberi kelonggaran bagi membolehkan mereka yang terperangkap di kampung balik ke kediaman masing-masing.
Beliau berkata, kerajaan juga memberi kelonggaran untuk mereka yang menaiki kenderaan sendiri boleh membawa enam penumpang kini, berbanding empat yang dibenarkan sebelum ini.
“Kita benarkan mereka yang naik motosikal untuk balik juga. Pihak polis juga mempunyai budi bicara, di mana kenderaan yang mempunyai enam tempat duduk dibenarkan balik. Namun, semua pergerakan hanya boleh berlaku dalam empat hari saja”, katanya.
“Kebenaran ini akan tamat 10 Mei (Ahad ini) saja. Ia hanya boleh berlaku di dalam tempoh pengecualian empat hari ini, sementara saja,” katanya pada sidang medianya, hari ini.