PKPB : ATM dan PPDRM fokus penguatkuasaan pematuhan SOP

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) masih terus memberi fokus membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan penguatkuasaan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang, berkata pihaknya juga masih membantu dalam pelaksanaan sekatan jalan raya (SJR) dan rondaan melalui ‘mobile patrol vehicle’ (MPV) bersama PDRM.

Pada Selasa, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata 15 agensi kerajaan termasuk ATM; Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM); Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM); Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA); dan Jabatan Imigresen (Imigresen) diberi kuasa untuk pelaksanaan pematuhan serta penguatkuasaan sepanjang PKPB.

Pendekatan yang akan diambil pasukan berkenaan adalah untuk memberi nasihat kepada orang ramai dan sektor industri serta memberi amaran jika tahap pematuhan masih tidak memuaskan.

Dalam perkembangan lain, Affendi berkata ATM dengan kerjasama semua agensi keselamatan akan memperkukuh dan memperketatkan kawalan di sepanjang persempadanan negara dalam tempoh PKPB bagi mengelak pendatang tanpa izin melalui ‘lorong tikus’ dan wujudnya kluster baharu.

“Kali ini, tahap PKPB dipergiatkan dan diperketatkan operasinya yang akan diselaraskan oleh ATM dengan kerjasama padu daripada semua agensi keselamatan dan penguat kuasa undang-undang daratan serta maritim,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here