JPN hanya jalankan operasi secara temujanji

KUALA LUMPUR: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hanya menjalankan operasi secara temujanji bagi membolehkan pelanggan menyelesaikan urusan dokumen diri yang tertangguh di semua pejabatnya di seluruh negara.

JPN dalam kenyataan berkata, semua urusan yang dilakukan secara temujanji itu bermula 4 Mei lalu, iaitu setiap hari bekerja mulai 8.30 pagi hingga 4.00 petang.

“Pelanggan yang ingin berurusan perlu membuat temujanji dengan menghubungi talian Pejabat Perkhidmatan Pelanggan JPN di seluruh negara dan perkhidmatan temu janji ini diambil sebagai langkah untuk mencegah penularan wabak COVID-19 dan mematuhi aspek penjarakan sosial,” katanya dalam kenyataan itu.

Kenyataan itu berkata, semua pejabat JPN sudah beroperasi dan pihaknya telah menetapkan prosedur operasi standard (SOP) ketat semasa pengoperasiannya dalam tempoh PKPB ini.

“Antara langkah kawalan diambil adalah mencatatkan maklumat pelanggan yang hadir, mengambil bacaan suhu badan, penggunaan cecair pembasmi kuman dan melaksanakan sanitasi peralatan kaunter dari semasa ke semasa”.

“Hanya pemohon yang sudah mendapatkan temujanji dibenarkan hadir, seorang sahaja untuk berurusan dan mematuhi masa ditetapkan bagi memastikan kehadiran pelanggan di pejabat pada satu-satu masa dapat dikawal dan penjarakan sosial dapat dipatuhi,” katanya.

Berhubung i urusan seperti permohonan MyKad kanak-kanak 12 tahun atau upacara perkahwinan yang memerlukan kehadiran lebih daripada seorang, pemohon akan dinasihatkan hadir dengan jumlah sangat minimum.

“Orang ramai dinasihatkan tidak terus hadir ke pejabat JPN tanpa temujanji kerana tiada jaminan perkhidmatan dapat diberikan kerana tertakluk kepada kekosongan slot temujanji.

“Sekiranya urusan boleh ditangguhkan, pemohon dinasihatkan hadir ke pejabat JPN selepas tempoh PKP tamat.

“Untuk makluman, pengumuman kerajaan berkaitan pendaftaran kelahiran boleh dibuat dalam tempoh 90 hari selepas PKP ditamatkan dan tiada denda dikenakan masih berkuat kuasa,” katanya.

Maklumat lanjut berkenaan perkhidmatan JPN semasa PKPB boleh dirujuk di laman sesawang JPN www.jpn.gov.my atau saluran media sosial rasmi JPN.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here