KUALA LUMPUR: Ketika pergerakan rentas negeri dilaksanakan semalam, tiada individu dikesan gagal mematuhi arahan dan prosedur operasi standard (SOP).
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata operasi yang dijalankan pihak berkuasa semalam berjalan lancar dan pematuhan pemandu serta keluarga yang terbabit juga amat baik.
“Kita menerima laporan aliran trafik berjalan lancar, hanya satu dua tempat sahaja yang sesak teruk seperti di Gua Musang yang berpunca akibat sekatan jalan raya dan ia diatasi dengan baik.
“Di kawasan rawat dan rehat (RNR) juga dilihat berlaku pematuhan yang baik, walaupun pengguna menggunakan tandas, pemantauan yang dilakukan penguat kuasa mendapati ia berjalan dengan baik,” katanya pada sidang media yang disiarkan secara langsung hari ini.
Beliau berkata, sebanyak 78,567 kebenaran diberikan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi aplikasi Gerak Malaysia dan sebanyak 2,220 diterima melalui borang manual.
“Pergerakan kali ini membabitkan mereka yang bukan sahaja mahu menuju ke ibu negara tetapi ke negeri lain, misalnya, terkandas di Johor tetapi bekerja di Pulau Pinang dan pergerakan pulang ke kampung ini akan berakhir esok”, jelas beliau.