UUM buka bidaan jualan nombor plat eksklusif mulai esok

SINTOK: Universiti Utara Malaysia (UUM) akan membuka bidaan nombor plat eksklusif UUM kepada orang awam secara dalam talian bermula jam 10 pagi esok hingga 17 Mei ini.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani, berkata bidaan itu adalah untuk sesi kedua selepas sesi pertama dilancarkan 16 Februari lalu bersempena Sambutan Hari Pengasasan UUM Ke-36.

Katanya, UUM mendapat kelulusan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi tujuan penjualan nombor plat eksklusif UUM bagi plat UUM 1 hingga UUM 9999 dan sah untuk didaftarkan dalam tempoh 12 bulan selepas berjaya dibida tertakluk peraturan semasa JPJ.

“Bidaan itu boleh dibuat menerusi laman sesawang https://uumplate.uum.edu.my. dan nombor yang dikategorikan nilaian utama akan mula dibuka pada harga RM30,000, manakala nombor kategori menarik pula bermula RM7,000.

“Bidaan kategori popular dibuka pada harga RM2,000 dan kategori popular (UUM) bermula harga RM1,000 dan kategori biasa RM500,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ahmad Bashawir, berkata pihaknya turut menawarkan insentif baharu khususnya kepada kakitangan memenuhi syarat melalui pemilikan nombor secara potongan gaji bulanan dan lain penambahbbaikan adalah pembida boleh membuat semakan nombor plat secara percuma melalui laman sesawang bidaan rasmi.

“UUM turut mengekalkan tawaran insentif sedia ada, iaitu yuran keahlian percuma Kelab Golf & Rekreasi UUM bernilai hingga RM5,000 kepada pembida berjaya dengan nilai bidaan RM20,000 ke atas dan diberi yuran keahlian seumur hidup percuma Persatuan Alumni UUM kepada pembida berjaya (bagi kategori Alumni UUM) dengan nilai bidaan RM1,000 ke atas”, katanya.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here