Pelakon Zarina Anjoulie fail saman fitnah RM3 juta terhadap Amyza Aznan

Pelakon dan model, Zarina Anjoulie Mohamad Fahizul memfailkan saman fitnah RM3 juta terhadap rakannya, Amyza Aznan berhubung kenyataan mengenai bantuan khusus untuk artis tempatan susulan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) daripada kerajaan kesan wabak COVID-19.

Zarina Anjoulie, 34, selaku plaintif memfailkan saman itu pada 23 April lalu, menerusi Tetuan Nurul Hafidzah & Associates dengan menamakan Amyza Aznan atau nama sebenarnya Azizah @ Amyza Aznan, 46, selaku defendan tunggal dalam saman berkenaan.

Mengikut senarai kes mahkamah, kes itu ditetapkan untuk sebutan secara dalam talian (e-Review) di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Farah Shuhada Ramli hari ini yang kemudiannya menetapkan 28 Mei ini untuk pengurusan kes berkenaan.

Berdasarkan penyataan tuntutan yang dilihat melalui carian dalam e-filing, Zarina Anjoulie mendakwa selepas pengumuman kerajaan berhubung BPN kepada rakyat dalam golongan B40 dan M40 yang berpendapatan bulanan RM8,000 ke bawah, sebahagian daripada golongan artis tempatan turut menyuarakan pendapat mereka dan menyatakan bahawa pihak kerajaan perlu memberikan satu ‘bantuan khusus’ bagi mereka atau penggiat seni negara.

Zarina Anjoulie, yang juga usahawan mendakwa beliau telah memuat naik video di laman sosial Instagram pada 28 Mac lalu, yang secara umum menyatakan bahawa “bantuan khusus” itu adalah tidak perlu dan hanya golongan artis yang layak boleh memohon BPN seperti rakyat lain.

Mengikut penyataan tuntutan itu, plaintif turut menyuarakan pendapat bahawa golongan artis yang berkemampuan dan berpendapatan besar seharusnya sedar mereka adalah golongan yang sepatutnya mempunyai wang simpanan mencukupi untuk menyara diri mereka sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), disebabkan krisis COVID-19, malah berpeluang untuk turut sama membantu rakyat yang terjejas oleh krisis itu.

Dakwanya, pada 29 Mac lalu satu kumpulan dikenali sebagai “BANTUAN COVID-SENI 2020” telah ditubuhkan menggunakan aplikasi Telegram yang membincangkan mengenai bantuan COVID-19 kepada artis tempatan dan kumpulan itu mempunyai sekurang-kurangnya 819 ahli terdiri daripada penggiat seni termasuk Amyza.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here