8.4 juta pekerja dijangka hilang pekerjaan di Thailand

Majlis Pembangunan Ekonomi dan Sosial Nasional (NESDC) Thailand menganggarkan kira-kira 8.4 juta pekerja di negara itu berkemungkinan hilang pekerjaan akibat pandemik Covid-19.

Menurut laporan mengenai unjuran dan situasi sosial Thailand bagi suku pertama 2020, agensi perancangan negara itu berkata, sebanyak 2.5 juta pekerja sektor pelancongan, 1.5 juta pekerja perindustrian dan 4.4 juta pekerja dalam sektor perkhidmatan (selain pelancongan) menghadapi risiko kehilangan mata pencarian mereka.

Laporan itu memaklumkan, jumlah individu yang mengganggur di negara itu meningkat kepada 394,520 atau 1.3% pada suku pertama 2020, iaitu menokok 0.92% bagi tempoh yang sama tahun lepas.

NESDC berkata, seramai 6 juta petani turut terjejas terhadap akibat musim kemarau yang berterusan sejak pertengahan 2019.

“Impak pandemik dan kemarau ke atas pengangguran akan dilihat pada suku ke-2 2020 dan lebih ketara pada separuh ke-2 tahun ini,” kata agensi itu dan menurutnya laporan itu adalah berdasarkan andaian bahawa pandemik itu mampu dikawal.

Berikutan situasi Covid-19 di Thailand yang semakin pulih dengan mencatat jumlah kes harian yang rendah, negara itu mula melonggarkan langkah sekatannya dengan membuka semula operasi perniagaan dan lokasi di negara itu sejak 3 Mei lepas sebagai fasa pertama kelonggaran berkenaan bagi memacu aktiviti ekonomi.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here