Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengerahkan pasukan anggota tentera untuk mengawal tindakan protes susulan kematian lelaki berkulit hitam, George Floyd yang kemudiannya bertukar ganas.
Trump sebelum ini dikritik berikutan tindakannya berdiam diri terhadap krisis itu, kemudian mengarahkan pihak polis untuk melepaskan gas pemedih mata terhadap penunjuk perasaan dengan alasan untuk menghentikan rusuhan dan kemusnahan harta benda.
Trump turut mengecam tindakan protes yang disifatkannya satu penghinaan dan meminta gabenor untuk mengambil tindakan dan jika tidak beliau akan mengarahkan pasukan tentera untuk menyelesaikan masalah berkenaan.
“Kita mempunyai negara yang hebat,” katanya ketika berucap di Rose Garden di Rumah Putih pada pada Isnin.
Trump berkata apa yang berlaku adalah satu penghinaan dan kerajaan persekutuan mula mengambil tindakan tegas berhubung tindakan ganas perusuh.
“Apa yang berlaku di bandar ini malam tadi ialah satu bentuk penghinaan dan ketika ini, saya telah menghantar ribuan tentera bersenjata dan pegawai penguat kuasa undang-undang untuk menghentikan rusuhan, penjarahan, vandalisme, serangan dan kemusnahan harta benda yang tidak diingini.
“Kami memberi amaran kepada semua orang bahawa perintah berkurung jam 7 malam akan kami kuatkuasakan dengan ketat.
“Mereka yang mengancam nyawa dan harta benda akan ditangkap, ditahan dan diadili dari segi undang-undang.
“Saya mahu pihak penganjur keganasan ini menyedari bahawa anda akan menghadapi hukuman jenayah berat dan hukuman panjang di penjara,” tegas beliau.
Gabenor New York, Andrew Cuomo dalam ciapannya di Twitter mengatakan tindakan dilakukan Trump dengan memanggil pasukan tentera adalah untuk memastikan protes berlaku dengan aman.
Sementara itu, seorang penunjuk perasaan terbunuh akibat tembakan di Louisville, Kentucky.
Laporan bebas daripada pemeriksa perubatan Hennepin County selepas bedah siasat menjelaskan kematian Floyd sebagai satu pembunuhan disebabkan oleh tekanan di leher walaupun ada mengatakan bahawa mangsa mabuk dan mengalami serangan jantung.
Majlis peringatan Floyd akan berlangsung di Minneapolis dan pengebumiannya akan berlangsung pada 9 Jun ini di Houston di mana dia dibesarkan, menurut peguam keluarganya, Ben Crump.