Melaka cadang wujud garis panduan baharu jual arak

Melaka memutuskan untuk mengambil tindakan sama dengan kerajaan Persekutuan dalam isu berkaitan cadangan mengkaji semula undang-undang penjualan arak.

Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali dalam satu kenyataan berkata, kajian semula wajar bagi mewujudkan satu garis panduan baharu dan akan melibatkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menurut Sulaiman, kerajaan negeri menyokong saranan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333)dipinda supaya hukuman lebih berat dikenakan kepada individu yang disabitkan dengan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah.

Katanya, arak turut menyebabkan masalah sosial lain yang lebih besar jika tiada tindakan tegas dan hukuman lebih berat.

“Kita mengambil maklum mengenai kes memandu di bawah pengaruh alkohol yang terbabit dengan kemalangan sehingga menyebabkan kematian kepada orang awam.

“Justeru, satu kajian semula berhubung peraturan penjualan arak dan minuman keras di negeri akan dilakukan sehingga satu garis panduan baharu diwujudkan,” katanya dalam kenyataan itu di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Sulaiman yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Lendu berkata, kerajaan negeri mengucapkan tahniah kepada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) yang menerima pengiktirafan sebagai 10 Bandar Paling Bahagia di Malaysia sempena sambutan Hari Kebahagiaan Sedunia.

Menurutnya, pengiktirafan itu menjadi pemangkin semangat kepada kedua-dua PBT tersebut supaya terus memberikan perkhidmatan terbaik selain menjadi pembakar semangat kepada dua lagi PBT di negeri itu untuk berusaha memperoleh pengiktirafan yang sama.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here