Loji air tercemar: Lombong di Sungai Temau diarah henti operasi

Kerajaan Pahang mengeluarkan arahan henti kerja kepada semua operator dan pemegang pajakan lombong di kawasan Sungai Temau, Lipis berkuatkuasa serta-merta.

Arahan itu dikeluarkan berikutan berlaku pencemaran sumber air di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Temau yang dikenal pasti berpunca daripada aktiviti perlombongan tersebut.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak berkata, pencemaran sumber air itu menjejaskan 421 pemegang akaun melibatkan penduduk Felda Chegar Perah dan Felcra Sungai Temau.

Menurutnya, masalah itu menyebabkan berlaku kejadian terputus bekalan air ekoran penutupan operasi LRA di kawasan tersebut beberapa kali.

“Hasil lawatan dan pemeriksaan di tapak lombong yang masih aktif dan bekas lombong ditinggalkan mendapati, berlaku limpahan air dari kolam sedimen di tapak lombong yang mengalir masuk ke dalam anak sungai.

“Pemeriksaan di lapangan pada 6 Jun lalu yang disertai beberapa wakil jabatan teknikal dan penguatkuasa juga mendapati penyelenggaraan kolam sedimen yang lemah oleh operator lombong menyebabkan berlakunya situasi tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here