TIADA KOMPROMI: IWK GANTUNG KONTRAKTOR TIDAK BERTANGGUNGJAWAB CEMAR ALAM SEKITAR

KUALA LUMPUR, JUN 12: Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) tidak akan berkompromi dengan manamana pihak dan telah menggantung secara serta merta kontraktornya yang didapati melakukanjenayah pencemaran alam sekitar baru-baru ini.

Syarikat Zennessy Park Sdn. Bhd., kontraktor yang dilantik IWK untuk membuang enapcemar kumbahan, telah didapati melanggar perjanjiannya dengan IWK apabila didapati sub-kontraktor kepada syarikat berkenaan, telah secara tidak bertanggungjawab membuang enapcemar kumbahan ke kawasan yang bukan ditetapkan IWK dan Jabatan Alam Sekitar (JAS). Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam berkata, syarikat terbabit telah dikenakan tindakan tegas oleh pihak berkuasa dan telah diarahkan untuk membersihkan kawasan yang telah dicemar dalam masa 24 jam. Kegagalan berbuat demikian boleh mengakibatkan kontrak bersama IWK ditamatkan.

“IWK tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang ingin menjalankan perniagaan bersama syarikat ini sekiranya mereka tidak mematuhi kepada peraturan dan perjanjian yang telah ditetapkan, khususnya dalam menjaga dan memelihara alam sekitar.

“Syarikat terbabit telah didapati mengambil jalan mudah tanpa ada rasa tanggungjawab. Saya telah arahkan mereka untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan di kawasan berkenaan dengan serta merta. Kerja-kerja pembersihan telah siap sepenuhnya semalam,“ katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada 6 Jun lepas, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) melalui JAS, Suruhanjaya
Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan IWK telah mengambil tindakan segera ke atas aduan orang ramai berhubung aktiviti pelupusan enapcemar yang diterima di sebuah kawasan terbiar di Bukit Damar, Cyberjaya.

Menurut Narendran, dalam memastikan semua kontraktor IWK tidak melanggar peraturan yang ditetapkan dalam kerja-kerja pelupusan enapcemar, pihak syarikat telah mengarahkan semua kontraktornya untuk memasang Sistem Pengawasan Kenderaan (Vehicle Monitoring System) di kesemua kenderaan mereka.

“Satu syarat wajib yang baru kami laksanakan kepada semua kontraktor yang ingin menjalankan perniagaan dengan IWK adalah memasang alat pengesan di kenderaan mereka. “Melalui sistem ini, pihak syarikat dapat memantau pergerakan kenderaan kontraktor dan berupaya mengesan mana-mana kenderaan yang tidak memenuhi perjalanan yang lengkap ke kawasan pelupusan yang ditetapkan,” tambah Narendran.

Menurut Narendran, IWK sentiasa memastikan kerja-kerja operasi dan penyelenggaraan di
semua 7,000 buah loji di bawah seliaan IWK sentiasa mengikut spesifikasi dan prosedur menurut keperluan dan peraturan pihak berkuasa. “Pihak pengurusan syarikat tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak, baik pihak kontraktor atau kakitangan sendiri sekiranya ada yang melanggar peraturan alam sekitar, dalam memastikan sumber air serta alam sekitar terus terpelihara daripada pencemaran,” katanya.

Pada masa yang sama, tambah Narendran, IWK juga akan mengeluarkan peringatan kepada semua kontraktornya untuk mematuhi undang-undang dan ketetapan kontrak perjanjian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here