PERLINDUNGAN KESELAMATAN SOSIAL DI BAWAH PENJANAGIG UNTUK PEKERJA EKONOMI GIG

KUALA LUMPUR – Dana padanan caruman platform ekonomi gig yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri baru-baru ini telah dibuka pada 15 Jun 2020 untuk pendaftaran platform penyedia perkhidmatan gig di bawah Program PenjanaGig yang dikendalikan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

 

Kerajaan memperuntukkan geran berjumlah RM50 juta dalam bentuk dana padanan bagi platform ekonomi gig, untuk membiayai caruman pekerja gig di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) PERKESO dan Skim i-Saraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Menerusi Program PenjanaGig PERKESO, pekerja gig mendapat perlindungan keselamatan sosial SKSPS di bawah Pelan 2 dengan caruman RM232.80 secara percuma selama setahun di mana Kerajaan membiayai 70 peratus bayaran caruman manakala baki 30 peratus oleh platform penyedia perkhidmatan. Ini bermakna Kerajaan menyumbang sebanyak RM163 daripada caruman setahun Pelan 2 SKSPS di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017, sementara platform penyedia perkhidmatan menyumbang RM69.80.

Antara faedah yang disediakan SKSPS PERKESO adalah Faedah Perubatan, Faedah Hilang Upaya Sementara, Faedah Hilang Upaya Kekal, Elaun Layanan Sentiasa, Faedah Orang Tanggungan, Faedah Pengurusan Mayat, Kemudahan Pemulihan Jasmani atau Vokasional dan Faedah Pendidikan.

Pekerja gig adalah mereka yang menjalankan sesuatu tugas atau kerja melalui platform penyedia perkhidmatan dalam talian atau aplikasi digital untuk mendapat upah seperti GrabCar, FoodPanda, Lalamove, Bungkusit dan sebagainya. Antara sektor yang mewakili pekerja ekonomi gig adalah sektor pengangkutan penumpang e-hailing, pengangkutan makanan dan barangan dan perniagaan dalam talian.

Antara syarat kelayakan untuk bantuan PenjanaGig termasuk bekerja secara aktif di bawah
platform penyedia ekonomi gig yang berdaftar dengan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC).

Sejak 1 Januari 2020, terdapat 28,425 pekerja ekonomi gig yang berdaftar dengan PERKESO. Jumlah ini hanyalah 7 peratus daripada lebih kurang 400,000 individu yang terlibat dengan ekonomi gig di negara ini, menurut anggaran MDEC. PERKESO berharap lebih ramai pekerja gig mendapat perlindungan keselamatan sosial menerusi Program PenjanaGig kerana mereka terdedah kepada pelbagai risiko berkaitan pekerjaan sendiri.

Platform penyedia perkhidmatan boleh berdaftar di bawah Program PenjanaGig melalui
gig.perkeso.gov.my. Permohonan dan bayaran caruman boleh dibuat bermula 15 Jun 2020 sehingga 31 Disember 2021.

SOALAN – SOALAN LAZIM (FAQ)

PROGRAM DANA PADANAN CARUMAN EKONOMI GIG PLATFORM PERTUBUHAN KESELAMATAN SOSIAL ( PERKESO )

BIL. 1/2020 | 1 5 JUN 2020

1. Apakah itu Program Dana Padanan Caruman Ekonomi Gig Platform (PenjanaGig)?

• Program PenjanaGig adalah bantuan Kerajaan yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri pada 5 Jun 2020 melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bagi menjamin keselamatan sosial dan kebajikan golongan Orang Bekerja Sendiri (OBS) yang melibatkan aktiviti pekerjaan ekonomi Gig. Sejak perintah kawalan pergerakan dilaksanakan, berlaku peningkatan terhadap permintaan ke atas perkhidmatan dan pekerjaan berlandaskan ekonomi Gig dan seterusnya meningkatkan risiko kemalangan bencana kerja.

• Bantuan kerajaan ini berbentuk sumbangan sebahagian caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS), PERKESO.

2. Apakah itu pekerja Gig yang dimaksudkan di bawah Program PenjanaGig?

• Pekerja Gig adalah mereka yang terlibat untuk menjalankan sesuatu tugas atau kerja di mana mereka dibayar upah dan dikendalikan melalui platform penyedia perkhidmatan atas talian (online) serta aplikasi digital.

SENARAI PENYEDIA PLATFORM PERKHIDMATAN EKONOMI GIG YANG BEROPERASI DI MALAYSIA

3. Apakah pelan perlindungan Keselamatan Sosial yang disediakan di bawah SKSPS?

• Terdapat empat (4) jenis Pelan bayaran caruman SKSPS, sepertimana Jadual berikut;

4. Apakah pelan caruman yang layak di bawah skim ini?

• Pelan caruman yang dipilih adalah pelan kedua iaitu RM232.80 setahun.

• Bantuan caruman dibayar untuk tempoh perlindungan selama setahun.

5. Berapakah jumlah yang disumbangkan oleh Kerajaan dan jumlah yang perlu dibayar oleh platform penyedia perkhidmatan?

• Caruman akan dibayar melalui sumbangan kerajaan sebanyak 70%, manakala baki 30% adalah daripada sumbangan caruman oleh platform penyedia perkhidmatan di bawah Pelan 2.

• Jumlah yang disumbangkan oleh kerajaan adalah sebanyak RM163.00 daripada RM232.80.

6. Adakah caruman boleh dibayar secara bulanan?

• Caruman tidak boleh dibayar secara bulanan. Bantuan caruman dibayar untuk tempoh perlindungan selama setahun.

7. Apakah syarat-syarat yang melayakan OBS bagi mendapatkan manfaat di bawah program ini?

• Bertaraf warganegara Malaysia / pemaustautin tetap.
• Bekerja secara aktif di bawah platform penyedia ekonomi Gig.
• Bekerja sepenuh masa atau separuh masa.
• OBS yang belum pernah atau yang sedang mencarum SKSPS layak mendapat program Padanan Caruman ini.
• Perlindungan SKSPS di bawah program ini adalah ditetapkan di bawah Pelan 2 sahaja.
• OBS bekerja di Malaysia.
• Mana-mana OBS yang melakukan aktiviti pekerjaan sendiri lebih daripada satu sektor adalah dibenarkan membuat permohonan, dengan syarat sektor berkenaan adalah di bawah platform penyedia ekonomi Gig. Contoh senario adalah seperti berikut:

8. Adakah platform penyedia perkhidmatan ekonomi Gig dikehendaki mendaftar di bawah penyedia perkhidmatan yang berdaftar dengan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC)?

• Ya, penyedia platform penyedia perkhidmatan adalah perlu berdaftar dengan MDEC.

9. Apakah faedah yang dinikmati oleh Orang Bekerja Sendiri di bawah Program PenjanaGig?

• Faedah yang dinikmati oleh OBS adalah perlindungan Keselamatan Sosial di bawah SKSPS, PERKESO secara PERCUMA yang dibiayai oleh Kerajaan dan Platform Penyedia Perkhidmatan.

10. Apakah jenis faedah yang disediakan di bawah SKSPS?

• Di bawah Skim Bencana Pekerjaan SKSPS, di antara faedah yang disediakan adalah seperti berikut:

• Faedah-faedah lain yang disediakan adalah seperti berikut;
i. Faedah Perubatan
ii. Faedah Pendidikan
iii. Kemudahan Pemulihan Jasmani atau Vokasional
Nota: Untuk penjelasan lanjut mengenai faedah-faedah SKSPS, sila rujuk laman sesawang gig.perkeso.gov.my.

11. Bagaimanakah permohonan program ini boleh dibuat oleh penyedia platform penyedia perkhidmatan?

• Platform penyedia perkhidmatan boleh berdaftar di dalam Program PenjanaGig melalui laman sesawang gig.perkeso.gov.my.

12. Apakah dokumen yang diperlukan bagi pendaftaran di bawah Program PenjanaGig?

• Dokumen yang diperlukan untuk permohonan Program PenjanaGig:

i. Salinan pendaftaran SSM / ROS / ROB / PBT atau lain-lain pertubuhan; dan
ii. Salinan surat pengesahan MDEC sebagai Rakan Strategik bagi Program Ekonomi Perkongsian

13. Bilakah permohonan ini boleh dikemukakan kepada PERKESO?

• Permohonan dan bayaran caruman boleh dibuat bermula 15 Jun 2020 sehingga 31 Disember 2021.

• Kelulusan setiap permohonan yang dikemukakan akan tertakluk kepada keputusan PERKESO secara muktamad.

14. Bilakah tarikh perlindungan SKSPS bermula?

• Perlindungan bermula dari tarikh dan masa penerimaan bayaran caruman SKSPS oleh platform penyedia perkhidmatan.

15. Adakah terdapat had bilangan pekerja Gig untuk memohon di bawah Program PenjanaGig?

• Tiada had bilangan pekerja Gig bagi setiap permohonan oleh platform penyedia perkhidmatan.

16. Bagaimana jika OBS sudah berdaftar di bawah mana-mana pelan SKSPS?

• PERKESO sedang meneliti dan mengambil tindakan sewajarnya dan akan memaklumkan serta berbincang dengan pihak platform penyedia perkhidmatan.

17. Bagaimana jika OBS berhasrat untuk mendapatkan bantuan ini, tetapi tiada kerjasama daripada pihak platform penyedia perkhidmatan?

• OBS boleh menghubungi pihak PERKESO untuk membuat libat urus (engagement) dengan pihak platform penyedia perkhidmatan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here