Kuching, 23hb Jun 2020 – Menteri Pelancongan, Kesenian & Kebudayaan Sarawak, YB Datuk Haji Abdul Karim Rahman Hamzah telah mengumumkan beberapa inisiatif oleh Sarawak bagi semua ejen pelancongan dan pengusaha pelancongan di negeri tersebut untuk membantu merangsang dan membuka semula industri pelancongan yang telah terjejas teruk akibat pandemik COVID-19. Dua inisiatif yang diumumkan adalah Pakej Insentif Pengunjung (Visitors Incentive Package- VIP) dan Dana Ekosistem Pelancongan Dalam Talian Sarawak (Sarawak Tourism Online Ecosystem Fund).
Untuk pakej VIP, Agensi-agensi Pelancongan Sarawak akan mendapat bantuan bagi pakej pelancongan yang dijual untuk minimum 4 orang dan maksimum 15 orang pada masa yang sama, tidak termasuk kanak-kanak di bawah umur 2 tahun. Insentif-insentif tersebut telah dikategorikan seperti berikut:
1. Pakej 3H/2M- untuk pelancong yang melancong di bawah pakej minimum empat (4) dan pakej maksimum lima belas (15) orang. Di bawah kategori ini, ejen terbabit akan menerima RM30 untuk setiap pelancong, bagi empat pelancong yang pertama dan tambahan RM20 untuk setiap pelancong seterusnya sehingga 15 orang.
2. Pakej 4H/3M- untuk pelancong yang melancong di bawah pakej minimum empat (4) dan pakej maksimum lima belas (15) orang. Di bawah kategori ini, ejen terbabit akan menerima RM40 untuk setiap pelancong, bagi empat pelancong yang pertama dan tambahan RM25 untuk setiap pelancong seterusnya sehingga 15 orang.
3. Pakej 5H/4M- untuk pelancong yang melancong di bawah pakej minimum empat (4) dan pakej maksimum lima belas (15) orang. Di bawah kategori ini, ejen terbabit akan menerima RM50 untuk setiap pelancong, bagi empat pelancong yang pertama dan tambahan RM30 untuk setiap pelancong seterusnya sehingga 15 orang.
Sementara itu, inisiatif kedua – Dana Ekosistem Pelancongan Dalam Talian Sarawak (Sarawak Tourism Online Ecosystem Fund) adalah program pemangkin untuk memperluaskan jejak Digital Pelancongan Sarawak dan Perkongsian Suara (Share of Voice- SOV) dengan kerjasama rakan industri. Untuk insentif ini, Agensi Pelancongan Sarawak akan memperuntukkan dana sehingga RM5,000 bagi setiap pengendali pelancongan untuk pembangunan dan penyelenggaran laman web, penyediaan isi kandungan dan pengiklanan digital yang bertumpukan pelancongan Sarawak. Sebagai tambahan, roadshow digital juga akan dijalankan di Kuching, Sibu, Bintulu, Miri, Bakalalan dan Bario.
Menurut YB Datuk Karim, Kerajaan menyedari impak pandemik kepada pengusaha

pelancongan dan inisiatif-inisiatif ini telah dirancang untuk memberi sokongan, mendorong dan mempercepatkan pemulihan sektor pelancongan dan juga meningkatkan keyakinan industri serta menggalakkan pemasaran dan promosi produk dan perkhidmatan mereka. Ia juga bertujuan untuk meningkatkan dan memberi motivasi kepada rakan pelancongan untuk memudahkan aktiviti pelancongan dan ketibaan semasa fasa pemulihan ini.
“Dana Ekosistem Pelancongan Dalam Talian Sarawak (Sarawak Tourism Online Ecosystem Fund) berusaha untuk menyelaraskan semua pemain industri, dengan objektif utamanya untuk meningkat ekonomi digital dalam sektor pelancongan. Ia juga bertujuan untuk menyokong dan meningkatkan penggunaan e-dagang untuk mendorong lebih banyak lalu lintas dalam ekosistem,” tambah Datuk Karim.
Pengumuman ini telah dibuat di “Sesi Dialog Sektor Pelancongan Pasca COVID-19 Bersama Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak – Sarawak Dibuka Semula untuk Pelancongan” di Pusat Konvensyen Borneo, Kuching, yang dihadiri oleh lebih daripada 100 rakan industri termasuk Persekutuan Pelancongan Sarawak (Sarawak Tourism Federation), Association of Sarawak Inbound Agents (ASIA), Persatuan Hotel Malaysia (Malaysian Association of Hotels (Sarawak Chapter), Lembaga Pelancongan Sarawak dan Kementerian Pelancongan, Kesenian & Kebudayaan Sarawak.
Semua pengusaha pelancongan di Sarawak dijemput memohon untuk insentif-insentif yang akan dibuka dari 1hb Julai 2020 hingga 31hb Disember 2020, mengikut kriteria yang disenaraikan di atas dasar ‘siapa cepat dia dapat’. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Lembaga Pelancongan Sarawak di talian 082 423600 atau stb@sarawaktourism.com.

YB Datuk Karim juga telah melancarkan video baharu Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) yang bertajuk ” Rediscover Yourself in Sarawak ” di Pusat Konvensyen Borneo, Kuching, pada 22 Jun 2020.
Video tersebut boleh ditonton di link berikut: