LAPANGAN TERBANG ANTARABANGSA SENAI BUKA AKSES KEPADA ORANG AWAM, TAWAR PARKIR PERCUMA

Pengunjung di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) kini boleh menikmati kemudahan parkir percuma bermula dari jam 12.00 tengah hari sehingga 2.00 petang dan dari jam 6.00 petang hingga 8.00 malam sepanjang minggu, mulai sekarang sehingga 31 Julai 2020.

Kempen parkir percuma yang dilancarkan oleh pengendali LTAS, Senai Airport Terminal Services Sdn Bhd, ahli kumpulan MMC adalah sebahagian daripada inisiatif untuk menarik pengunjung tempatan serta membantu perniagaan peruncit dan pengendali makanan dan minuman (F&B) setelah menghadapi tempoh kelembapan selama beberapa bulan kebelakangan ini.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Kennedy Ayu berkata, “Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak Kementerian Pengangkutan kerana telah melonggarkan sekatan terhadap pengunjung selain daripada penumpang untuk memasuki bangunan terminal. Dengan inisiatif ini, kami berharap dapat menggalakkan lebih banyak permintaan terhadap perniagaan runcit dan F&B di LTAS sementara jumlah penumpang mulai meningkat.”

“Kami juga ingin meyakinkan para pengunjung bahawa semua prosedur dan langkah pencegahan telah dilaksanakan dan mematuhi saranan SoP yang telah dikeluarkan oleh pihak kerajaan seperti mewajibkan semua pengunjung untuk mendaftar bagi tujuan penjejakan kontak melalui kod QR, memakai topeng muka dan juga pemeriksaan suhu badan sebelum memasuki lapangan terbang. Pihak LTAS juga telah meletakkan penanda jarak untuk menggalakkan penjarakan sosial, menyediakan cecair pembasmi kuman secara percuma dan meningkatan rutin pembersihan terutamanya di kawasan tumpuan umum kerana kesihatan dan kesejahteraan pelanggan tetap menjadi keutamaan kami.”

Gambar: LTAS menyediakan kemudahan membeli – belah, makan dan minum yang selesa untuk para pengunjung dan masyarakat setempat.

LTAS kini menempatkan sebanyak 24 jenama runcit dan 16 kedai F&B yang menawarkan citarasa tempatan dan antarabangsa di bawah satu bumbung, memberikan pengalaman membeli-belah serta makan dan minum yang selesa untuk para penumpang dan juga masyarakat setempat.

Promosi parkir percuma ini layak didapati dengan sebarang pembelian tanpa jumlah minimum daripada mana-mana peruncit atau kedai F&B di LTAS. Pengunjung boleh mengesahkan tiket parkir dengan membuktikan resit pembelian mereka di Kaunter Informasi LTAS sebelum pulang untuk menikmati promosi ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here