Penjual aiskrim ini titis air mata setelah 7 anaknya beri hadiah kereta baru

Seorang bapa kepada tujuh orang anak di Ipoh tidak dapat menahan sebak dan terus menitiskan air mata setelah anak-anaknya membuat kejutan dengan menghadiahkannya sebuah kereta baru, baru-baru ini.

Encik Haziq Safwan Norzaman memuat naik video ke laman Twitter pada Sabtu (20 Jun) yang menunjukkan ayahnya rasa sebak setelah melihat kereta Proton Persona menunggunya di luar rumah mereka.

Video itu berjaya memikat lebih 150,600 tontonan dan diciap semula lebih 7,500 kali.

Encik Haziq memberitahu mStar bahawa kali terakhir beliau melihat ayahnya menitiskan air mata adalah ketika beliau mendapat 10A untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tujuh tahun yang lalu.

“Ketika saya turun dari pentas sekolah setelah mendapat keputusan SPM saya, saya melihat betapa berair dan merahnya mata ayah saya ketika dia sedang menelefon arwah nenek saya untuk berkongsi berita tersebut dengannya,” katanya.

Pemuda 24 tahun itu berkata beliau dan adik-beradiknya turut menangis setelah melihat reaksi ayah mereka atas pemberian mereka itu, kejutan yang sudah dirancangkan bersama ibu mereka kira-kira sebulan yang lalu.

Encik Haziq mengatakan bahawa mereka memerlukan sedikit masa untuk menjayakan rancangan itu kerana beliau dan adik-beradiknya harus menyelesaikan bayaran ansuran dan pinjaman bank melalui abangnya yang tinggal di Kuantan.

Encik Haziq bersama dua adiknya kemudian berangkat ke Kuantan beberapa hari yang lalu untuk mengambil kereta itu dan mereka terpaksa berbohong kepada ayah mereka tentang tujuan mereka ke sana untuk mengembalikan kereta yang konon-kononnya dipinjam dari abang mereka.

“Beliau pada awalnya bingung dan bertanya bagaimana kami akan kembali ke Ipoh.

“Kami terpaksa berbohong dan mengatakan bahawa kami akan terus meminjam kereta abang saya tetapi pada hakikatnya, kami akan pulang dengan hadiah untuk ayah kami.”

Lulusan Universiti Leeds itu berkata bahawa beliau berharap ayahnya, yang bekerja sebagai penjual aiskrim, akan dapat menggunakan kereta itu setelah kereta lamanya rosak tahun lalu.

Proton Persona itu juga merupakan hadiah bagi meraikan ulang tahun perkahwinan yang ke-33 bagi kedua-dua orang tuanya pada Mac tahun ini.

“Kami keluar menaiki kereta baru untuk bersarapan pada hari itu dan kami meminta ayah duduk di tempat pemandu untuk meraikannya.

“Tetapi beliau masih tercengang kerana terkejut dan masih menahan sebak dan sebaliknya meminta saya untuk memandu. Beliau mahu menenangkan dirinya dulu,” kata Encik Haziq. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here