PEROLEHAN SUKU-1 DRB-HICOM RM2.74b, DITERAJUI SEKTOR AUTOMOTIF

SHAH ALAM, Khamis, 26 Jun 2020 – Perolehan DRB-HICOM Berhad (“DRB-HICOM”, “Kumpulan”) bagi tiga bulan pertama 2020 berjumlah RM2.74b, diterajui oleh Sektor Automotif Kumpulan, yang menjana jualan bernilai RM1.81b. Sektor Perkhidmatan DRB-HICOM pula menghasilkan jualan RM830.49j, sementara Sektor Hartanah merakamkan perolehan bernilai RM93.3j dalam suku tersebut.

Seperti yang dijangkakan, pandemik COVID-19 telah menjejaskan perniagaan Kumpulan. Pergerakan nilai matawang asing (“forex”) dalam suku pertama turut mengakibatkan Kumpulan terpaksa menanggung kerugian bernilai RM72j, akibat nilai tukaran forex bagi bayaran dan pinjaman dalam matawang asing. Kerugian pra-cukai bagi DRB-HICOM untuk suku berakhir 31 Mac 2020 bernilai RM185.3j.

Tiada perbandingan suku dapat dilaporkan kerana tahun lalu, DRB-HICOM telah mengubah tahun kewangan mereka untuk tamat pada bulan Disember dari bulan Mac sebelum ini.

ULASAN KESELURUHAN

Jualan bagi Sektor Automotif kekal didahului oleh pengeluar kereta nasional PROTON, dengan model pemasangan tempatan Proton X70 terus menerajui segmen SUV. Bagi suku pertama, PROTON menjual 21,757 unit kenderaan, didahului oleh model ikonik Saga dengan lebih 8,800 unit terjual. Model X70 pula berjaya mencatat jualan lebih 4,100 unit.

Sektor Perkhidmatan DRB-HICOM pula menyaksikan Pos Malaysia mencatat peningkatan volum hasil permintaan e-dagang serta pemasaran dalam talian yang meningkat. Perolehan operasi mel juga mencatat peningkatan kecil terutamanya dalam bulan Februari, walaupun kesan COVID-19 jelas dirasai dalam bulan Mac apabila perolehan menurun.

Bagi Sektor Hartanah, pengebilan dalam sub-sektor pembinaan juga menyusut, memberi kesan kepada perolehan.

PROSPEK TAHUN SEMASA

Keluaran Dalam Negara Kasar (“KDNK”) menguncup dengan drastik kepada 0.7% dalam suku pertama, jelas mencerminkan kesan awal pandemik COVID-19 (KDNK dalam suku ke-4 2019 dicatat pada 3.6%).

Persatuan Automotif Malaysia telah mengurangkan unjuran volum keseluruhan industri (“TIV”) dari 607,000 ke hanya 400,000 unit. Sekalipun pengenalan pengecualian cukai jualan oleh Kerajaan sehingga Disember 2020 dapat membantu TIV naik, prospek untuk ia kembali ke tahap pra-COVID-19 agak kecil. Kumpulan DRB-HICOM bagaimanapun akan melancarkan promosi serta model-model baharu dalam usaha memulihkan jualan.

Prospek perniagaan lain Kumpulan didalam pertahanan, aeroangkasa, pos dan lojistik, perbankan, perkhidmatan dan pembinaan kekal tidak menentu kerana sub-sektor ini turut terkesan dengan ketidak-tentuan tempoh mengatasi COVID-19.

Berdasarkan semua ini, krisis pandemik semasa dijangka akan mempengaruhi prestasi operasi DRB-HICOM bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020. Bagaimanapun, Kumpulan akan terus melaksanakan langkah mengoptimakan kos serta pengurusan aliran tunai untuk memastikan ia mampu memenuhi tanggungjawab kewangan dan keperluan operasi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here