Hujan Berterusan, Pendakian Ke Puncak Kinabalu Dibatalkan

Seramai 88 pendaki termasuk 10 pengamal media tidak dapat meneruskan pendakian ke puncak Kinabalu pada awal pagi ini berikutan faktor cuaca.

Penguasa substesen Panalaban Julimin Kamin berkata pendakian yang dijadualkan bermula pada 2.15 pagi itu terpaksa dibatalkan kerana hujan yang berterusan sejak petang semalam menyebabkan laluan ke puncak gunung licin.

“Selain itu, kabus sangat tebal di atas sekali gus mengehadkan penglihatan di samping pembentukan sungai-sungai kecil di kawasan laluan di ‘check point’ di Sayat-Sayat dikhuatiri akan membahayakan pendaki,” katanya kepada Bernama.

Julimin berkata ini adalah pertama kali jadual pendakian dibatalkan selepas aktiviti pendakian dibuka semula pada 16 Mei lalu selepas dihentikan sejak 18 Mac berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Hujan berterusan di Kundasang sejak petang semalam menyebabkan laluan pendakian ke Panalaban juga dibanjiri oleh aliran air deras.

Julimin berkata berikutan pembatalan itu, semua pendaki yang menginap di Panalaban akan turun semula ke Timpohon pada 10 pagi ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here