MAJIKAN YANG BELUM TERIMA BAYARAN SUBSIDI UPAH BOLEH TERUS HUBUNGI KETUA EKSEKUTIF PERKESO

KUALA LUMPUR – Perluasan Program Subsidi Upah (PSU) seperti yang diumumkan dalam Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) oleh YAB Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini mencerminkan keprihatinan Kerajaan terhadap kesukaran yang dihadapi majikan dan pekerja akibat krisis COVID-19.

Untuk membantu majikan terus beroperasi dengan mengekalkan para pekerja di waktu yang mencabar ini, Kerajaan juga telah melonggarkan syarat-syarat di bawah PSU di mana:

  1. Majikan dibenarkan untuk melaksanakan pengurangan waktu bekerja mingguan diikuti dengan pengurangan gaji dengan persetujuan pekerja.
  2. Majikan membenarkan pekerja yang mengambil cuti tanpa gaji untuk menerima subsidi upah secara langsung – bagi sektor berkaitan pelancongan dan sektor yang tersenarai dalam aktiviti yang dilarang sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan.

Pada masa yang sama, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) amat mengambil berat masalah majikan yang masih belum menerima bayaran PSU. Setelah semakan semula kes-kes yang telah ditolak oleh pihak bank, PERKESO dapati masih terdapat kesilapan pada nombor BRN (Business Registration Number) atau nombor akaun yang diberi dalam permohonan PSU, manakala ada akaun bank majikan yang tidak aktif ataupun nombor telefon majikan tidak dapat dihubungi.

Bagi majikan yang masih belum menerima bayaran PSU, mereka boleh hubungi PERKESO di talian hotline 1-300-22-8000 atau hadir ke mana-mana pejabat PERKESO.

Sebagai sebuah organisasi yang prihatin, PERKESO memandang serius kesulitan yang dihadapi majikan. Sehubungan itu, bermula pada hari ini, mana-mana majikan yang masih belum menerima subsidi upah, boleh terus menghubungi Ketua Eksekutif PERKESO melalui emel ceo@perkeso.gov.my.

PERKESO akan sedaya-upaya memastikan bayaran dibuat kepada semua majikan yang layak menerima bantuan subsidi upah.

#StayActiveStayHealthy

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here