Tragedi bot pemancing dibadai ribut: SAR teruskan pencarian tiga mangsa hilang

MASUK hari ketiga tragedi bot terbalik waktu Maghrib kerana dibadai ribut yang menimpa 20 pemancing termasuk tekong dan awak-awak serta mengorbankan lima nyawa, tiga masih hilang dan 12 terselamat di lokasi kejadian, 10 batu nautika dari Jeti Pengkalan Kuala Kemasin, Bachok, Kelantan.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga mangsa yang dikhuatiri lemas dalam tragedi malang itu disambung semula pada kira-kira pukul 6 pagi tadi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan, Kepten Maritim Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, pencarian yang masuk hari ketiga hari ini akan diperluaskan ke radius 324 batu nautika persegi dari tempat bot tersebut ditemukan.

“Pencarian hari ini akan ditingkatkan lagi dan APMM telah menggariskan sektor-sektor tertentu bagi memudahkan kerja-kerja pencarian oleh pasukan SAR.

“Kita juga telah meminta bantuan daripada agensi penyelamat Thailand untuk melakukan pencarian dalam kawasan perairan negara mereka,” katanya ketika dihubungi .

Beliau berkata, pasukan SAR akan menggunakan beberapa bot serta pesawat Bombardier milik APMM dalam usaha pencarian tiga lagi mangsa yang belum ditemukan iaitu Arman Ismail, 43, Harun Daud, 60-an dan Che Wadi Bakar, 40-an.

Setakat ini, lima mangsa yang meninggal dunia telah ditemukan sejak operasi SAR dilancarkan semalam.

Mereka yang ditemukan ialah Mohd. Syahrizan Daud, 40-an, Muhamad Zaki Muhamad Nordin, 19, Wan Aminudin Wan Hussin, 60-an, seorang warga Thailand yang hanya dikenali sebagai Pokta, 50-an dan Ahmad Syafiq Che Alim, 30.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here