Wanita KEADILAN kecam tindakan ahli parlimen Baling

Wanita Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) mengecam sekeras-sekerasnya tindakan Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dan seksisme ketika sidang Dewan Rakyat semalam.

Naib ketua wanitanya, Sangetha Jayakumar berkata kenyataan terhadap Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri Pato menunjukkan sikap dan jati diri Abdul Azeez yang rendah, tidak menghormati Dewan Rakyat serta meneruskan tradisi pemerintahan lama.

“Wanita KEADILAN turut melahirkan rasa kesal kerana tindakan ini tidak ditegur ahli-ahli parlimen wanita daripada Perikatan Nasional (PN) apatah lagi ia melibatkan kenyataan berbaur perkauman dan merendah-rendahkan martabat wanita yang selama ini diangkat tinggi pentadbiran Pakatan Harapan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau mendakwa keadaan itu menunjukkan peranan wanita tidak pernah menjadi agenda penting PN yang hanya berminat berebut kuasa dan memegang peranan penting demi tembolok sendiri serta kroni.

Semalam Dewan Rakyat kecoh apabila Abdul Azeez berkata ‘gelap, tak nampak’ ketika Kasthuri  mempersoalkan kekurangan ahli parlimen wanita yang diusulkan bagi menggantikan anggota jawatankuasa pemilihan Parlimen.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here