Peniru Elvis Presley dari Norway mencipta rekod dunia baharu

Seorang  peniru Elvis Presley dari Norway mencipta rekod dunia baru-baru ini apabila dia menyanyikan lagu-lagu penghibur legenda itu selama lebih 50 jam tanpa henti-henti dalam satu pertandingan dalam talian.

Kjell Henning Bjornestad, atau nama pentasnya Kjell Elvis, bernyanyi tanpa henti-henti selama 50 jam, 50 minit dan 50 saat, seterusnya memecah rekod lama, yang diiktiraf oleh Buku Rekod Guinness, dengan lebih tujuh jam.

Rekod juara Elvis sebelum ini, seorang warga Jerman bernama Thomas ‘Curtis’ Gaethje, bertahan selama lebih 16 tahun.

“Saya tidak akan melakukan ini lagi,” kata Bjornestad, yang memakai kostum Elvis, kepada televisyen Norway selepas dia menamatkan persembahannya di sebuah bar di Oslo.

Pengurusnya berkata, Kjell Elvis, yang bernyanyi tanpa henti-henti selama dua hari dan dua malam, telah disuruh untuk mengurangkan minuman kopi, sebaliknya bergantung kepada ‘smoothies’, buah dan snek tenaga untuk menjaga suaranya dan terus bertahan.

Bagaimanapun dia menjadi semakin garau selama beberapa jam terakhir.

Bjornestad, yang berusia 52 tahun, pernah mencipta dua rekod nyanyian Elvis. Kali terakhir, pada 2003, dia membuat persembahan tanpa henti selama 26 jam untuk menang.

Kali ini, dia menyeru kepada peminat untuk membuat sumbangan sewaktu acara tersebut yang sebahagiannya digunakan untuk membiayai sebuah hospital di Myanmar.

Elvis Presley, yang meninggal dunia pada 1977 dan dikenali sebagai ‘The King’, merupakan salah satu ikon budaya pada abad ke-20.

Dia memiliki puluhan lagu hit nombor satu dan menjual lebih 146 juta buah album, menurut Persatuan Industri Rakaman Amerika, dan memenangi lebih banyak album emas berbanding mana-mana orang lain

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here