Parti Melayu Baru Akan Dibentuk, Bersifat Inklusif Dan Moderat – Tun Mahathir

Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan sebuah parti baharu yang akan dibentuk beliau berasakan kepada perjuangan orang Melayu dan Kaum Bumiputera.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata parti yang masih belum mempunyai nama itu akan bersifat inklusif dan moderat.

“Ini kerana parti-parti berasas kepada Melayu dan Pribumi yang wujud hari ini telah menggadai maruah bangsa, agama dan hala tuju perjuangan kepada golongan yang gilakan kuasa.

“Dalam kegilaan mahu kekal berkuasa, perjuangan mereka adalah untuk menjaga kepentingan elit demi memastikan sokongan tidak hilang dan dapat kekal berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Walaupun berasakan kepada orang Melayu dan Bumiputera, Mahathir berkata parti baharu itu turut akan membela nasib kaum yang lain di negara ini.

“Parti ini akan memperlihatkan kepada bangsa-bangsa lain bahawa orang Melayu adalah bangsa yang tidak khianat, berpegang pada janji dan tidak menolak kerjasama yang ikhlas dan berprinsip.

“Parti ini juga bertujuan untuk menebus kembali maruah bangsa yang terpalit dengan sifat khianat, menipu, membohong, rasuah dan tamak akibat perbuatan pemimpin parti-parti Melayu yang lain.

“Mereka telah menjadikan agama dan bangsa modal untuk mendapatkan sokongan sedangkan tindak tanduk dan perbuatan mereka melanggar ajaran agama dan bertentangan dengan nilai bangsa,” ujarnya lagi.

Tambah Mantan Perdana Menteri itu, parti itu juga tidak akan terikat dengan mana-mana parti campuran lain seperti Pakatan Harapan mahupun Perikatan Nasional.

Selain mahu mengembalikan kehormatan negara sebagai Harimau Asia, Mahathir berkata parti tersebut masih dengan perjuangan dalam menghapus amalan rasuah dan kleptokrasi.

“Satu Jawatankuasa Disiplin akan ditubuhkan untuk tentukan undang-undang dan peraturan dikuatkuasakan,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here