Warisan teliti kerjasama dengan parti baharu Tun Mahathir

Parti Warisan Sabah (Warisan) bersedia menjalinkan hubungan kerjasama dengan semua pihak termasuk parti baharu yang ditubuhkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad.

Menurut Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal Warisan mengalu-alukan penubuhan parti baharu itu asalkan apa yang diperjuangkan selaras dengan kehendak di peringkat negeri ini sekiranya menjalinkan kerjasama dengan parti baharu Tun M nanti.

“Warisan akan meneliti segala bentuk kerjasama dan yang penting semua hak-hak dan kepentingan rakyat Sabah menjadi keutamaan.

“Dan tidak mungkin semasa Tun menjadi Perdana Menteri kita boleh menjalinkan kerjasama tetapi semasa dia tiada sebarang jawatan kita pula tidak mahu bekerjasama. Saya fikir sikap sedemikian bukanlah suatu nilai yang baik,” katanya.

Tegas Shafie, pimpinannya sebelum ini sudah pun membuktikan kemampuan telah menjalinkan kerjasama dengan parti komponen lain dalam Pakatan Harapan (PH) sehingga kini.

Mengenai penggunaan logo semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, beliau juga menjelaskan perkara itu bukan satu isu kerana yakin dengan penilaian rakyat di negeri ini yang memilih wakil mereka bukan berdasarkan logo yang digunakan.

“Pengundi Sabah bukan memandang logo parti semata-mata tetapi sebaliknya memilih wakil rakyat daripada parti yang dekat di hati mereka,” ujar beliau lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here