PRK DUN Slim: Setakat ini 3 calon kemukakan borang pencalonan

Buat masa ini, hanya tiga calon hadir bagi mengemukakan borang penyertaan untuk bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.

Pada jam 8.51 pagi, calon yang dimaklumkan akan bertanding di atas tiket Bebas, Santarasekaran Subramaniam, 44 hadir bersama seorang pencadang dan seorang penyokong.

Pencadangnya, P Chantiran, 53 dan Penyokong, Chai Kin Kheong, 47.

Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zainul Aziz pula hadir lima minit selepas itu pada jam 8.56 pagi.

Jam 8.59 pagi, calon Parti Pejuang Tanah Air, Amir Khusyairi Mohamad mewakili kumpulan Tun Dr Mahathir Mohamad pula kelihatan memasuki ruang Dewan Sri Tanjong.

Dilaporkan sebanyak 12 borang pencalonan sudah dijual oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kepada wakil-wakil parti dan calon bebas.

PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, pada 15 Julai lalu yang ketika PRU14 menang dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Bersatu yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon Pas, Muhammad Zulfadli Zainal.

Perak mempunyai 59 kerusi DUN dan daripada jumlah itu 32 membentuk Perikatan Nasional terdiri daripada 25 BN yang kesemuanya UMNO, Bersatu (empat), Pas (tiga) manakala DAP (16), AMANAH (lima), PKR (tiga), Bebas (dua) serta Gerakan (satu).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here